Wednesday, January 13, 2010
Mother's Love Can Never Be Changed...
Subuh, suasana alam masih hening pagi ini. Semuanya seakan diam berzikir memuji dan memanjat syukur pada kebesaran Ilahi. Cuma kedengaran sayup- sayup suara unggas dan katak yang sedari malam menyanyikan simfoni mereka. Segala yang ada bagaikan menanti dengan penuh harapan munculnya sinar mentari. Faktanya, sudah tiga hari mendung merudung dan hujan mengguyur kota ini tanpa henti. Tapi sayang, hujan masih merintik di luar sana. "Biarlah, rahmat Tuhan sedang mencurah", hatiku berkata.
Aku tidak akan pernah jemu melakukan ini. Hariku dibuka dengan sembah sujud yang ke-sekian kalinya pada Tuhan empunya semesta. Aku persembahkan diri yang lemah dengan penuh rasa kehinaan. Apa yang terdaya dan seadanya kuhadapkan pada Sang Pencipta. Solat yang berdiri kali ini lain benar rasanya. Seolah-olah hatiku berbicara tentang sesuatu yang tidak aku fahami. Sempurnakah ia atau sebaliknya? Puaskah ia? Sakitkah ia? Entahlah, mungkin ada yang kurang. Aku tidak pasti tentang itu. Apa yang pasti, hari ini umurku bertambah lagi. Usiaku perlahan-lahan meniti alam dewasa bergerak meninggalkan zaman remaja. Hari-hari untuk aku merasakan kehidupan semakin berkurang. Detak jantung dan denyut nadi entah bila akan terhenti. Jam biologi tubuh seakan dimamah waktu. Apakah sempat aku merasa hari tua? Atau aku dijemput lebih dahulu? Bukan urusan hamba seperti aku, kuserahkah semuanya pada Tuhan. Malah, aku tidak layak untuk menanyakan itu.
Waktu berlalu, aku lantas bangun untuk mengambil naskah kitab suci di atas meja. Teringin benar mengalunkan ayat-ayat di dalamnya. Duduk bersila di atas sejadah tadi, aku membuka halaman yang hendak dibaca. Ketika membelek-belek mencari halaman tujuan itu, telefon bimbitku berbunyi. "Haish, saper pulak yang telefon pagi-pagi camni??", tanyaku kepada diri sendiri. Tanpa membuang masa aku menutup naskah suci ditanganku dan meletakkan ia kembali ke meja. Aku segera menjawab panggilan itu. Yang tertera di layar sentuh itu adalah "EMAK".
"Assalamualaikum, mak", aku menghulurkan salam, memulakan bicara. "Wa'alaikumsalam...Selamat hari jadi, sayang", kata ibuku di hujung talian. Suara itu, ucapan itu, dan detik itu membuat aku terdiam. Lidahku kelu. Aku tergamam. Tiada kata yang terlintas dikepala waktu itu. "Kenapa diam je?", sambung ibuku. "Takde apa-apa la, mak...terima kasih...mak orang first wish bufday Along hari ni." jawabku ringkas.
"Mak...terima kasih sebab lahirkan Along, besarkan Along.. tak mungkin Along boleh bayar balik semua tu..", aku mengatakan itu. “Sama-sama, Long.. Itu memang tanggungjawab mak... Mak takde harta banyak untuk Along dengan adik-adik... Apa yang mak mampu, mak bagi sama rata korang adik-beradik, takde yang lebih takde yang kurang. Mak nak korang semua berjaya dunia akhirat..." ibuku menjawab. Aku masih belum puas. Masih banyak yang mahu aku bicarakan pada ibu. "Mak, Along mintak ampun mintak maaf atas salah silap Along, dari kecik sampai kebesar, dari dulu sampai sekarang, halalkan makan minum, pakai Along, mak." aku menambah. "Ya, mak maafkan dan mak halalkan," jawapan ibu mudah. "Mak, Along sayang mak!!!" aku menyatakan. Bersamaan itu genangan sehangat tubuh meluncur laju membasahi pipi. Aku tidak lagi dapat menahan sebak. Bercucuran jatuh titis-titis jernih dari kelopak mataku. Hujan diluar seakan mengiringi detik-detik syahdu itu. Sungguh, saat itu aku ingin menangis semahu-mahunya.
"Mak mana yang tak sayang anak, Long? Sayang mak kat awak takkan berubah sampai bila-bila. Awak kan anak mak." ibu membalas. "Sudah la tu. Tak mau nangis,jangan sedih-sedih. Hari ni kan patutnya Along rasa happy", ibuku seakan memujuk. "Tak la mak. Along tak nangis lagi dah. Along kan dah besar", aku membalas. "Ok la kalo macam tu, mak nak siap-siap nih. Nak pergi kerja", ibuku mengundurkan diri. "Hmmm...terima kasih sekali lagi mak. Kirim salam kat ayah nanti. Insyallah, lusa Along balik. Ok mak. Nanti kiter jumpe. Assalamualaikum.", aku menutup perbicaraan dengan sedu-sedan. "Waalaikumsalam", Ibu menjawab. Perbualan telefon selama kurang lebih sepuluh minit itu dihentikan. Sepuluh minit yang akan aku kenang seumur hidup. Kasih sayang emak.
Meski aku tidak dapat mencium tangan ibu pagi itu, mendengar suaranya saja sudah cukup untuk mengubat rindu ini. Sudah lama ku pendamkan hasrat untuk mencium tangan ibu, mengucup tangan ayah. Aku merindui tangan-tangan yang selama ini membelai zaman anak-anakku, mencari nafkah untuk kehidupanku. Tangan ayah sudah lama tidak hinggap ditubuhku. Tangan ibu bertahun tidak memukul aku. Tangan merekalah yang telah membentuk aku menjadi aku. Ingin sekali aku menatap wajah kedua insan tersayang itu. Wajah yang aku kenal dulunya seringkali memarahi aku. Wajah-wajah itulah juga yang pertama kali aku lihat saat membuka mata dan mengenal dunia dulu. Terasa ingin mendengar suara keras ayah menengking dan memarahi aku. Aku berharap sekali dapat mendengar leteran ibu. Sedalam ingatanku kali terakhir aku mengucup tangan-tangan itu, mendakap tubuh ayah dan ibu, menatap wajah dan bebual mesra dengan mereka sewaktu sebelum ke sini dulu. Waktu pagi, di lapangan terbang. Kira-kira setahun yang lalu.
"Sayang emak pada seorang anak tidak akan pernah berubah..."
Mungkin itulah kata-kata yang paling tepat untuk aku simpulkan apa yang terjadi pagi ini. Sebuah peristiwa yang amat berharga bagiku dalam memahami apa itu kehidupan. Aku merasa lebih dewasa. Semuanya berkat kasih sayang emak yang tidak pernah berubah. Aku yakin, sejak aku masih dalam kandungan dan sampai bila-bila, perkara itu akan tetap sama. Aku akan pastikan itu. Aku berjanji pada diri, bersaksikan apa yang ada di bumi dan di langit, semua yang dilaut dan di darat serta seisinya; aku takkan sia-siakan kasih sayang emak. Semoga emak bahagia sebagaimana dia membuat aku bahagia...
"Ya Allah kasihilah ibubapaku seperti mana mereka mengasihi aku sejak kecil"... Amin
P/s : Gambar2 di bawah mungkin ada hubungannya dengan tajuk diatas walaupun secara langsung tiada kaitan dengan cerita serta watak-watak yang tersebut. Tapi aku rasa menarik untuk disertakan bersama-sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment