Saturday, January 9, 2010

BARA ITU PADAM JUGA AKHIRNYA...



Saat kepala batang mancis itu digesek di tepi kotaknya dan ketika ia mulai menyala, mataku terpandang sesuatu di sudut itu. Tapi entah mengapa api mancis itu padam tiba-tiba. Ku cuba lagi buat kali yang kedua, namun tidak berjaya. Lantaran kerana malas, aku meletakkan semula kotak kecil itu di atas meja. Lalu aku menghantar semula pandanganku ke sudut yang tadi. Mencari sesuatu di sana. Menyorot tepat ke setiap sisi di situ. Memang tidak wajar dengan sekilas pandang sesuatu di sudut itu pantas menghilang. Tapi ternyata tidak ada apa-apa di sudut itu. Aku terus mencari apakah yang mencuri pandanganku tadi. Lama aku mengarah ke sudut itu sambil mengharapkan sesuatu. Tapi ternyata realiti tidak seindah mimpi, di sudut itu memang tidak ada apa-apa. Hanya ruang kosong di situ. Lantas aku biarkan sudut di lesehan itu dengan kesepiannya bersama-sama pandanganku tadi.

“Pak, bisa pinjam korek apinya?”. Huh, terkejut aku. Entah dari mana dan entah siapa dan entah mengapa suara itu tiba-tiba datang melewati pendengaranku menyebabkan lamunanku terhenti. Apakah itu satu soalan tanpa pilihan jawapan? Atau mungkin juga itu adalah satu permintaan? Bermacam pertanyaan menerjah ke kepalaku untuk mencari kepastian. Sejak bila pula aku menjadi bapak kepada pemuda berbau busuk ini? Adakah dia ingin menggali lubang di sini? Atau dia sedang menahan bisa gigitan semut api? Melihat aku yang kebingungan, pemuda itu mengulangi semula kata-katanya tadi. Kerana tidak memahami tujuan dan maksud hati pemuda tersebut, aku hanya membalas dengan sekuntum senyuman. Lalu pemuda itu berlalu pergi. Dia kelihatan agak kecewa. Apakah yang diinginkan pemuda itu sebenarnya? Aku terus memikirkan maksud kata-katanya tadi yang agak sukar untuk difahami.

Menjadikan ‘pinjam’ sebagai kata kunci, aku yakin dan pasti bahawa kata-kata pemuda tadi adalah berbentuk suatu permintaan. Mengukuhkan lagi fakta tersebut, pemuda itu berlalu pergi dengan kehampaan kerana permintaannya tidakku tunaikan.
Apa yang mahu dipinjamnya? Soalan penting lanjutan dari kata kunci tersebut. Tadi ada sesuatu yang melekat di bibirnya. Kemudian dia letakkan di hujung jari tangan kanannya. Apakah gerangan benda di hujung jarinya itu? Pada masa yang sama, di tangan kirinya menggenggam suatu kotak yang lebih besar dari kotak mancisku tadi, dan yang pasti itu bukanlah kotak tisu atau kotak fikirannya. Pada ketika yang sama, di kotak itu tertera perkataan ‘Gudang Garam’. Antara lain aku juga terbaca “kretek terbuat alami dari cengkih asli Indonesia”. Tapi mengapa sesuatu di hujung jarinya tadi tidak berbara seperti yang biasa kulihat? Ada sesuatu yang tidak kena. Hah, aku semakin hampir dengan jawapan yang dicari. Sesuatu dihujung jari pemuda tadi harus ada api untuk membuatkannya berbara. Ya, mancisku tadi paling mungkin menjadi jawapan persoalan yang bermain di benak otakku. Masalah yang timbul dan tambah merumitkan keadaan yang memang tersedia sulit, apa kaitan mancis dengan hal korek-mengorek? Aku semakin pening dan kepalaku makin berserabut memikirkan hal begitu. Oleh hal yang demikian, aku menggunakan jalan mudah dengan membiarkan persoalan tadi tidak terjawab.



Kembali semula ke hujung jari pemuda tadi. Ada sesuatu yang membuat kenangan zaman muda-mudiku terimbau semula. Sesuatu yang persis di hujung jari pemuda itu juga pernah berada di hujung jariku. Sesuatu yang melekat dibibir pemuda itu turut melekat dibibirku suatu ketika dulu. Peristiwa ini berlaku sewaktu aku masih dibangku sekolah kira-kira dalam tingkatan dua. Pada masa tersebut, aku adalah pelajar di sekolah berasrama penuh. Masih segar dalam ingatanku, kali pertama aku menyentuh kotak berwarna sama dengan kotak ‘Gudang Garam’ tadi tetapi ia mempunyai nama berbeza, jika tidak salah yang pernah tertulis di kotak itu adalah ‘Dunhill’. Ketika itu aku di dalam bilik asrama-A303. Bersama-sama teman-teman seperjuangan dan sepermainan. Malangnya aku tidak ingat hari apa dan berapa haribulan. Yang samar-samar dalam ingatan, waktu malam selepas makan. Barangkali hujung minggu, bulan April.


“Kau bila nak join kitorang?”, salah seorang dari temanku yang bernama Didin bertanya. Aku pantas menjawab, “aku belum bersedia la.. sabar sket?”. “Argh, kau tu dari stat aku kenal sampai skang ayat tu gak yang ko pakai. Ko ingat ni nak kawin pe kene sedia-sedia.. tak payah, sumer barang da ade.. tembakau, filter, kertas balut, daun kalo nak pon ade, lighter, mancis, ah sumer lah, lengkap.. jangan cakap ape yang takde, ni ade yang da siap jual, Dunhill, Malboro, PallMall, Winston, tinggal bakar je..”, kata temanku seorang lagi yang bernama Bibot. “Entah ko ni, syok wo kalo ko join kitorang... makin ramai makin best..”, temanku yang bernama Nura' menambah. Walaupun nama dia agak kewanitaan, tetapi dia telah dilahirkan sebagai seorang lelaki. Mereka inilah insan-insan yang tergolong dalam jenis yang tidak berguna. Bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi juga mempengaruhi orang lain yang suci seperti diriku ini. Kadang-kadang aku terfikir juga mengapa aku berkawan dengan budak-budak nakal seperti mereka. Tapi aku sedar, sebagai insan biasa, kita tidak sepatutnya menyisihkan mereka kerana mereka juga ada hati dan perasaan sama seperti manusia lainnya. Walaupun perangai mereka sedemikian, namun jauh di sudut hati mereka ada satu ruang yang seribu kali lebih mulia dari insan-insan biasa.

Dengan berhati-hati aku membuka kotak berbalut plastik itu, lalu ku intai isinya. Masih belum terusik. Menurut perhitungan yang aku lakukan, kira-kira ada sekitar dua puluh batang. Teman-temanku yang lain hanya memandang tindak-tandukku, menanti apa yang akan berlaku seterusnya. Agak lama kotak itu berada di tanganku. “Ape yang kau menungkan tu? Lama sangat nanti masuk angin la menda ni...”, tegur Bibot. “Meh sini kotak tu..”, Bibot menambah.

Kotak itu berpindah tangan. Bibot lalu mengeluarkan salah satu isi kotak itu dan meletakkannya ke bibir. Api dinyalakan. Hujung batang di bibirnya mulai berbara. Bibot terus menarik nafas panjang, menyedut bersama-sama aroma dari batang berbara itu. Wajahnya yang mulus itu kelihatan sedang menikmati sesuatu dengan sungguh asyik. Tidak lama setelah itu, dia menghembus keluar kepulan-kepulan semacam asap yang secepat kilat mencemari ruang udara bilik itu. Didin dan Nura' tidak lama kemudian turut mengikut jejak langkah Bibot dan mereka memeriahkan lagi acara pencemaran di situ. Aku biarkan mereka dengan keasyikan bersama batang berbara itu kerana semenjak aku mengenali mereka, memang itulah aktiviti yang biasa mereka lakukan. Waktu ke bandar, ke kedai makan, pulang kelas, ke tandas, sebelum mandi, ketika berjalan kaki, saat mengulangkaji, dan kadang-kadang selepas bangun dari tidur, batang berbara itu pasti berada di hujung jari mereka. Kehidupan mereka seolah-olah tidak akan lengkap dengan rutin yang begitu.

Sementara itu, aku masih didalam dilema. Apakah tindakan yang akan aku lakukan ini benar di sisi undang-undang? Mengapa mereka boleh dan aku tidak? Apa nikmatnya? Apa bezanya? Kenapa teman-temanku beriya-iya meyakinkan aku? “Kitorang ni bukan apa, kesian kat ko tu je...kitorang best-best dengan menda ni kau duduk sorang-sorang...” Didin tiba-tiba bersuara. Dia kelihatannya menunjukkan keprihatinan dan semangat setiakawan. Aku hanya diam tunduk memandang lantai memikirkan sesuatu. “Ko tau kan risiko kau tu lebih tinggi dari kitorang, pe salahnye ko jadik je macam kitorang”, suara Bibot kedengaran. “Yelah, tapi ni kita-kita je tau...k?” aku bersetuju kerana aku masih mentah waktu itu, masih tidak matang dalam membuat pertimbangan. Demi menjaga hati dan perasaaan kawan-kawan. Detik itulah menjadi sejarah dan mencoret citra perjalanan hidupku. Bibot menghulurkan kotak disisinya itu. Lalu aku lakukan perkara yang sama seperti dia lakukan tadi. Mengeluarkan sesuatu dari kotak itu. Meletakkan ia ke hujung bibir. Nura' menyalakan api, dan hujung batang itu mulai berbara. Ku sedut di satu hujungnya yang lain. “Uhuk!uhuk!, aku terbatuk. Ternyata tekakku tidak dapat menerima sesuatu yang baru itu walaupun selama ini itulah yang aku hidu melalui lubang hidungku.
“Rilek..biasa la tu, orang baru memang camtu..hisap pelan-pelan la...jangan gelojoh..take your time”, kata Didin. Aku cuba meniru gaya Bibot, menghisap batang berbara itu dengan penuh keasyikan. Kali kedua, aku merasakan sesuatu yang berbeza melewati saluran pernafasanku. Sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Nikmat yang tidak tertanding dengan udara segar dipagi hari sekalipun. Semerbak baunya, seenak rasanya. Rongga-rongga peparuku dipenuhi sedutan-sedutan dari batang berbara itu. Dada ku turun naik menghembus nafas. Aku merasa suatu ketenangan yang belum pernah ku rasakan sebelum ini. Fikiranku kosong. Mindaku yang tadinya penat berfikir kini kembali bertenaga. Dan layaklah aku digelar sebagai seorang penghisap batang berbara. Sama seperti Bibot,Didin,Nura', pemuda yang tadi, dan yang lainnya di seluruh dunia. Semenjak hari itu, batang berbara menjadi sebahagian dari hidupku.

Hari demi hari aku dan kawan-kawan menghisap batang berbara bersama-sama. Persahabatan kami menjadi semakin utuh. Masa menghabiskan batang berbara dijadikan masa untuk berkongsi pendapat, meluahkan perasaan dan mejana kemajuan masa depan. Batang berbara menjadi wahana semangat kesetiaan antara kami. Hal ini terbukti dengan kejadian bersama pemuda yang memanggilku bapak tadi. Tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa, dan siapa, tapi kalau namanya penghisap batang berbara memang tidak dapat dinafikan memang ada persamaannya. Memerlukan api untuk batang berbaranya. Siapalah batang berbara tanpa api? Apakah erti batang berbara tanpa bara di puntungnya?Memang itulah sifat semulajadi penghisap batang berbara. Kalau tidak percaya, pergi ke tempat batang berbara yang popular misalnya di kaki lima, kedai makan, tempat menunggu bas, pasar raya, tandas awam, taman bunga, taman permainan, taman perumahan, malahan juga di mana-mana, pasti ada penghisap batang berbara yang berkongsi pemetik apinya dengan yang lain. Jika dia pemurah, batang berbaranya juga turut diberikan bersama-sama kotaknya sekali. Penghisap batang berbara yang beretika tidak membuang puntung dan abunya merata-rata. Dia menggunakan ashtray demi menjaga kebersihan alam sekitar. Secara pasti, menurut kajian yang dilakukan cukai hasil tembakau adalah antara yang tertinggi di banyak negara. Penghisap batang berbara menjadi sumber pendapatan para petani tembakau yang hidupnya susah. Penghisap batang berbara juga menguntungkan pengilang dan penjual batang berbara. Cuba bayangkan apa akan jadi jika semua orang berhenti menghisap batang berbara? Berapa banyak pihak yang menanggung kerugian? Jelaslah bahawa penghisap batang berbara juga menyumbang kepada sektor ekonomi negara. Aku gembira kerana aku tergolong dalam kelompok penghisap batang berbara waktu itu dan itulah antara fakta kenapa orang susah meninggalkan tabiat menghisap batang berbara.

Dari aspek yang berbeza, disamping banyak faedah, batang berbara turut membawa padah. Aku masih ingat setelah tiga tahun bergelar penghisap batang berbara, sewaktu itu musim cuti sekolah. Aku di rumah bersama ibu dan ayah serta adik-beradik yang lain. Suatu hari selepas makan tengahari tubuhku tiba-tiba menggigil. Aku menjadi pelik. Mana mungkin cuaca panas terik boleh membuat aku terketar-ketar, aku merasa ada sesuatu yang kurang. Ada yang salah. Ada yang tidak sempurna. Tapi aku tidak pasti. Batang berbara! Hah, aku sudah tidak menghisap batang berbara selama beberapa hari di rumah. Aku perlukan batang berbara. Memang di luar jangkauanku. Aku mengigil kerana menahan ketagihan untuk menghisap batang berbara. Tapi aku takut dimarah ayah. “Anak mak, sayang demam ke?”, ibuku bertanya tiba-tiba dan lantas memegang dahiku. Aku tersentak dengan pertanyaan itu. “Takde lah mak...entah kenapa tiba-tiba je,” aku membalas. “Ha’ah badan tak panas pun,” ibuku kembali bersuara. Ketika itu, hanya aku dan ibu berada di ruang dapur. Dalam menahan kemahuan untuk menghisap batang berbara yang amat sangat itu, seolah-olah ada sesuatu yang memaksa aku untuk mengaku di hadapan ibuku. “Sayang ni kenapa? Mak rasa macam ade yang tak kene je..”, tanya ibuku dengan naluri penuh keibuan. Mungkin naluri itulah yang membuat diriku semakin goyah. “Mak, saya merokok...”, dengan suara yang perlahan aku membuat pengakuan di hadapan ibuku tersayang. Lama ibuku mendiamkan diri. “Dah berapa lama sayang merokok ni? Nape tak bagitau mak awal-awal?”, balas ibuku dengan lembut. Ibuku tidak sedikit pun menunjukkan reaksi kemarahan walau kutahu dia terkejut. “Stat dari form two, ikut-ikut kawan...Saya takut mak marah sebab tu saya tak bagitau”, aku menjawab dengan perasaan bersalah. Memang selama ini ibulah orang yang paling rapat dengan diriku. Segalanya aku kongsikan dengan ibu, tidak ada rahsia antara kami. Tapi kerana rokok, aku telah melakukan sesuatu yang salah terhadap ibuku.

“Mak marah awak bukan sebab mak benci, mak marah awak sebab mak sayang awak... awak pun tau kan mak tak suke marah-marah ni...”, kata ibuku lagi. “Saya pun tak suke tengok mak marah-marah”, aku membalas. “Mak tak marah awak merokok, tapi mak tak suke...”,sambungnya. “Saya ingat nak berenti la mak”, aku menyampaikan hasrat hati. “Bagus la kalau camtu, tapi mak tak suruh awak berhenti terus...kurangkan la dulu..pelan-pelan..mak tau memang susah..tapi mak tau anak mak boleh..”, ibuku menyuntikkan semangat. “Saya janji dengan mak nanti saya berenti”, aku berjanji dengan ibuku. Semenjak peristiwa itu, aku semakin jarang merokok. Rokok hanya bersamaku di saat-saat kritikal.

Habis masa bercuti aku kembali menjalani kehidupan di sekolah semula. Ketika di sekolah, aku tidak lagi kerap bersama Didin, Bibot dan Nura'. Pada waktu yang sama, aku jatuh hati dengan gadis yang sekelas denganku. Wajahnya halus putih berseri. Budi bahasa dan santunnya menawan hati. Za namanya. Kami berkawan rapat. Sering mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Menjalani suka-duka berdua. Tapi aku tidak pernah menceritakan isi hatiku padanya kerana menurut ibu belum sampai masa. Jadi kami hanya berteman tapi mesra. Demikian pula halnya dengan tiga orang temanku tadi. Walaupun begitu, aku tetap berkawan dengan mereka kerana mereka adalah kawan terbaik yang pernah aku ada, malah lebih baik dari pelajar-pelajar yang skema. Kami baik-baik sahaja. Kali terakhir aku merokok bersama mereka sewaktu menduduki SPM di tandas belakang dewan peperiksaan. Selepas itu kami berpisah mencari haluan hidup masing-masing. Suatu hari aku semasa cuti menunggu keputusan SPM diumumkan, aku mendapat SMS “ Bibot meninggal tengahari tadi,accident...-Nura'-”. Pesanan ringkas itu membuat mataku tiba-tiba bergenang. Aku kehilangan seorang kawan. “Innalillah, camne ley jadik camtu?,” ku membalas SMS tadi. “Aku kat seberang jalan masa tuh tunggu dia...Masa dia lintas, kotak rokok dia jatuh...dia try nak amek..masa dia tunduk tuh ade lori tanah datang...laju...terus langgar die...aku tengokkan je..tak sempat nak watpe..pastu lori tu bla camtu je...aku terus lari kat Bibot..dia da terbaring atas jalan...banyak darah keluar..Sumer orang kat situ pon datang tengok...tak lame ambulans ngan polis datang...on the way nak gi spital tu dia..meninggal...”, Nura' menjelaskan. Walaupun Bibot merokok, tapi sepanjang aku mengenalinya dia tidak pernah menyakiti orang lain. Dia amat penyayang terhadap binatang. Amat menghormati orang tua. Dia orang yang amat mementingkan kebersihan. Dalam hal-hal keagamaan dia tidak pernah ketinggalan, dia amat penyabar. Mungkin Tuhan lebih menyayanginya dan menjemputnya lebih dahulu.

Tidak lama setelah itu, keputusan SPM diumumkan. Syukur, keputusan SPM aku cemerlang dan aku ditawarkan Jurusan Perubatan. Suatu malam semasa aku mengikuti program persediaan ke luar negara di utara tanah air, telefon bimbitku berdering. Panggilan dari Za. “Kenapa awak tak cakap kat kita awak merokok?”, tanya Za. “Awak tak pernah tanye pon..”,balasku. “Kita tak suka la awak isap rokok...” sambung Za lagi. “Kita tau.” Jawabku ringkas. “Awak taukan Bibot meninggal sebab nak amek kotak rokok? Kita taknak awak jadi camtu..Awak tu nak jadik medic student takkan la tak tau bahaya rokok..nanti ape kate orang bile tengok dokter isap rokok..”, Za menambah lagi. “Yela kite tau awak sayang kat kita, sebab tu awak cakap camtu kan?” tanyaku. “E’eh mane ade...perasan jerk die ni..”, Za cuba menafikan. “Kita dalam proses berenti la ni..kalo dulu sehari sekotak, sekarang seminggu dua tiga batang je..tu pon bile perlu..tak lama lagi kite berenti terus..”, aku cuba menjelaskan. “Jangan cakap je tau...kene buat jugak..nanti da berenti jangan lupa gitau kita....” kata Za lagi. “K..”, kataku tanda setuju. Semua peristiwa itu menjadi pemangkin untuk aku berhenti merokok. Aku berazam untuk bersara dan meletakkan jawatan sebagai perokok.

Pertengahan Januari tahun itu, ketika harijadiku yang ke-18, aku membuat keputusan untuk memulakan hidup baru. Aku tekad untuk berhenti merokok. Setelah lima tahun rokok dan aku menjadi teman, hari itu aku putuskan hubungan antara kami. “Selamat harijadi, sayang..”, Ucapan dari ibuku dihujung talian. “Terima kasih...mak, terimakasih sekali lagi kerana melahir dan membesarkan saya sehingga saya jadi macam sekarang...saya sayang mak..”, kataku kepada ibu. “Itu memang tanggungjawab mak...Mak tak perlu terima kasih awak...mak tak harap apa-apa dari awak..Cuma mak nak anak mak berjaya macam anak orang lain...mak nak awak selamat dunia akhirat...mak nak yang terbaik untuk awak sebab mak sayang awak jugak...” tambah ibuku lagi.. “Mak, mulai arini saya tak merokok lagi..saya da berenti...”, ku sampaikan berita itu pada ibu. “Bagus la...lepas ni jangan cuba-cuba lagi ye..”, kata ibu. “Baik, mak...” aku menurut sahaja.

Setelah aku tamat mengikuti program persediaan itu, aku melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sewaktu menjadi anak rantau bermacam perkara baru yang aku temui. Belajar budaya, bahasa, dan tradisi di sini. Kira-kira tiga bulan di sini, tiba-tiba aku teringat akan Za. Aku ingin sekali mendengar suaranya. Sudah lama tidak ketemu. Rasa rindu pun ada. Pesan ibu sebelum berangkat ke sini dulu, jumpa Za dan terus terang pada dia. Tapi aku terlupa dan tidak ada masa. Pantas aku mendail nombor Za. Talian tersambung. “Assalamualaikum, boleh kita cakap dengan Za?”, tanyaku. “Kita la yang cakap ni..awak..ni nape tetiba jek call..tak pernah-pernah pon...takde angin takde hujan tetiba je...ingat da tak ingat kat kita lagi..”, Za menjawab semacam memerli. “Awak, kita nak cakap something dengan awak ley tak?”, aku kembali bertanya. “Tak payah la nak berbunga-bunga..direct je.. Nak cakap pe die?”, kat Za. “Kita memang ade hati kat awak sejak first time kita jumpe awak....”, aku cuba menyampaikan maksud hatiku. Lama Za mendiamkan diri. Mungkin terkejut agaknya. “Nape awak baru cakap sekarang...sori...kita baru je couple dengan kawan kita bulan lepas..”, suara Za perlahan kedengaran. “Oo..camtu ke..tak pe la..kira kita da melepas la ni ye?”, balasku lagi. “Selama ni kita pon ade ati kat awak tapi cam takde respon jer..kita tunggu awak lama tau...kita mintak maaf la ye...tapi kita still kawan kan?”, kata Za lagi. “Erm..nape nak mintak maaf..awak takde wat salah pe pon...tu kan hak awak nak suke kat sape ke nak sayang kat sape ke...ye..sampai bila-bila pon kita kawan...”, jawabku. “Kita nak terima kasih dengan awak...sebab awak kita jadik cam kita sekarang...dan kita nak gitau awak yang kita da tak merokok...”, tambahku lagi. Aku terdengar suara tangisan Za teresak-esak di sana dan dia tiba-tiba memutuskan talian. Berkali-kali aku cuba menelefon, tapi gagal. Semenjak itu aku tidak lagi mendengar berita dari Za.

“Pak, bisa pinjam korek apinya?”. Hah, pemuda tadi datang kembali kepadaku. Imbauan masa silamku tiba-tiba terhenti. Kali ini tangannya menunjuk tepat ke arah kotak mancis ku tadi. Ini menyebabkan aku menjadi pasti bahawa korek api itu adalah mancis. Terjawab sudah pertanyaanku tadi. Aku lantas memberikan kotak mancis itu padanya. Sekarang hampir setahun sudah aku berhenti merokok. Bukan kerana ibu, bukan kerana Bibot, dan bukan kerana Za. Tetapi kerana aku mahu berhenti merokok. Syukur pada-Mu Rabbi kerana kau menjauhkan aku dari rokok.Aku insaf dan sedar atas kesilapan masa laluku. Setelah bertahun aku mencemarkan atmosfera bumi, setelah sekian lama aku meracuni diri sendiri dan setelah separuh dekad batang berbara menjadi sebahagian dari aku, aku meninggalkan tabiat itu. Kini, aku tidak lagi menghembus kepulan nikotin dan tar ke udara, tidak lagi menyedut racun berbahaya di hujung batang berbara itu. Batang berbara itu cuma tinggal kenangan. Kenangan yang terindah. Bara itu padam juga akhirnya.



-Kasturi Sepi-

1 comment: