Dan sebagaimana aku katakan,
Dengarkan tuan suatu rencana
Mengarang daku di dalam gundah gulana
Barangkali bahasaku kurang kena
Tuan betulkan dengan sempurna...
*(Gurindam Pasal 5 bahagian Gurindam Dua Belas nukilan Raja Ali Haji)
Wa ba'adahu adapun kemudian dari itu telah berkata fakir yang insaf akan lemah keadaan dirinya, dan singkat pengetahuan ilmunya; dan suatu masa bahawa fakir ini telah melalui suatu pengalaman. Pada antara itu, hematnya mengatakan barang kita kongsikan kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala orang yang kemudian, dan boleh diingatkan segala mereka itu. Dan adalah semoga beroleh faedah ia daripadanya.
A' lam ketahui olehmu pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, telah ia melalui perjalanan kurang lebih dua purnama dan setengah di tempat yang bernama Dept. of Internal Medicine. Adapun didalam perjalanan ini terkandung banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan apatah lagi menjadi barang dagangan. Arakian tersebutlah bahawa di dalam pengembaraan yang panjang ini terdapat banyak ilmu-ilmu tiada ternilai harganya.
Dan daripada itu tersebutlah pula bahawa telah diperturunkan kepada dirinya ilmu-ilmu rahsia kitab perobatan penyakit dalam. Adapun ilmu ini adalah bagian dari alam perobatan yang menangani diagnosis dan penanganan organ dalaman tanpa bedah pada pesakit yang telah dewasa. Ketahui olehmu bahawa, di dalam ilmu penyakit dalam itu terkandung pula bermacam jurus dan bunga-bunganya. Yaitulah kardiologi, berurusan ia dengan gangguan jantung dan pembuluh darah; Endokrinologi, berurusan ia dengan gangguan sistem endokrin yang spesifiknya disebut hormon; Gastroenterohepatologi, berhubungan dengan bidang penyakit sistem pencernaan manusia; Hematologi, berkaitan dengan darah, organ pembentuk dan gangguannya; Infeksi dan Penyakit menular, berkaitan pula akan dirinya dengan penyakit yang disebabkan oleh agen biologis seperti virus, bakteri atau parasit dan semacam dengannya; Onkologi medik, berurusan dengan studi dan perawatan tumor dan cancer; Nefrologi, berkaitlah ia dengan fungsi dan penyakit ginjal; Pulmonologi, adalah pula bahagian penyakit paru-paru dan jalur pernafasan. Disudahilah akan semuanya itu dengan Reumatologi, tercurah ke diagnosis dan terapi penyakit rematik dan sendi. Maka akan terlalu banyak dan luas alam ilmu penyakit dalam ini, dan ada pula memberi gelar Interna akan ia.
Al-kisah, dalam masa purnama yang pertama itu pergilah fakir empunya ceritera ke tempat banyak orang-orang yang menderita sakit, Labuang Baji namanya. Daif sungguh pada keadaannya. Sampah dan najis ada dimana-mana. Semerbak bau menusuk. Tiadalah tahan akan dirinya. Sedih jiwa dan raga. Tambah pilu hatinya berkata tatkala malam pun tiba, ramai pula yang bergelandangan tidur di jalan-jalan menanti keluarga di ranjang perawatan. Beralaskan lantai dan apa adanya. Itulah kenyataan. Ditambah pula perawat-perawat yang pelik perangainya semua. Ada yang berlagak seperti raja, malas mahu bekerja. Tetapi ada pula antara mereka yang terlalulah elok budi pekertinya. Molek pula bahasanya.
Dini hari di waktu pagi, pawana menjelma. Bermulalah segalanya. Berbekal Littmann sang stetoskop hikmat, memeriksa dan memberi obat. Dan ketika tiada pasti, bertanyalah akan dirinya kepada dokter yang lebih tua. Setelah kemudian itu, diajarlah tentang beberapa perkara. Diperturunkan pesan dan rahsia khazanah perubatan. Selesai sudah, sebelah petang dan malam akan dirinya berjaga pula. Menerima gerangan penderita datang dari kejauhan atau barang keluhan. Begitulah seterusnya untuk barang satu purnama.
Kata sahibul hikayat, maka pada ketika itu tatkala dirinya menjalankan amanah tugasnya itu, ada seorang perempuan sakit menderita. Sangatlah parah akan keadaannya. Bernama penyakitnya itu ketoasidosis, yang demikian kata bijak pandai krisis gula pada darah puncanya. Nafasnya tersangatlah cepat, selayaknya Kussmaul. Beraroma keton seperti buah. Keringat dingin membasahi tubuhnya itu. Teramat gawatlah perempuan itu untuk beberapa ketika. Diguyur sudah, di infus sudah, di beri insulin juga sudah. Segala yang termaktub dalam kitab ilmu penyakit dalam diamalkan juga. Hanya giliran doa dan tawakal sebagai usaha. Dan ikhtiar terakhir tersuratlah CPR untuk beberapa ketika sehinggalah pasti pupil-pupil midriasis itu tidak lagi bereaksi akan cahaya, tekanan darahnya tidak terukur, nadinya juga tidak teraba, tiada berbalas pula bunyi nafasnya. Auskultasi hampa dengan degup jantung tiada. Maka, Rabbul Jalal juga yang Maha Berkuasa atas hambaNya. Pergilah perempuan itu buat selama-lamanya. Tidaklah tahu bagaimana perasaan empunya ceritera ketika terpaksa memberitahu ahli keluarga akan perkhabaran kematian itu. Syukurlah baik-baik akhirnya.
Arakian kemudian dari itu berpergianlah pula akan empunya ceritera ke tempat orang sakit yang baru, tanahnya berdaulah Islam, Faisal pula orang-orang memberi nama. Adapun tempat ini adalah ihsan kerajaan Saudi Arabia nun jauh di sana. Dan di sini pula bertemu pula akan dirinya akan orang sakit yang tidaklah dapat menggerakkan sendiri kaki tangannya. Riwayat dan hikayat yang berkenaan itu menyebutlah akan dia akan penyakit yang diderita. Periodic Paralysis Thyrotoxicosis gelarnya. Setelah darahnya di periksa ternyata kurang pada kandungan elektrolitnya. Tertegaklah diagnosis. Diberi obat penawar sakti dan diperbaiki keadaannya itu, maka dapatlah ia berjalan seperti semula.
Syahadan, dari sekian banyaknya orang-orang yang sakit itu ada seorang ayah yang amatlah kasihan akan dia. Adapun ketika waktu berjaga-jaga itu mengeluh akan dia bahawa sesak terdesak untuk bernafas dapatlah tidak. Berdampinglah empunya cerita dengan orang sakit yang disebutkan itu. Dilihat akan keadaannya itu, lantas hati empunya ceritera berkata bahawa semoga Allah bersama-samanya. Dari lembaran hitam sinar-X yang telah menembus dadanya, dimaklumi bahawa adapun paru-paru orang yang sakit itu musnah sudah. Hancur dan luluh akan ia. Destroyed Lung kata para sarjana.Pekhabaran keadaan itu segera pula dilaporkan kepada tetuanya. Pastilah sudah buat ke-sekian kalinya terpaksa akur pasrah menyerah. Kalah sebagai wajib seorang hamba merasa lemah. Empunya ceritera menganjurkan kalimah syahadah seraya memberi kata-kata tabah walau jiwanya goyah. Memandanglah isterinya yang hamil dan anak-anaknya itu dengan mata berkaca-kaca. Berbisiklah syahadah sang isteri pada suaminya menemani akhir hidupnya. Akan anak-anaknya itu memeluk erat tubuh lemah sang ayah tercinta. Apakan daya, segalanya tersurat sudah. Berpisahlah mereka buat selama-lamanya. Al- fatihah jua hadiah buat dirinya.
Dan kemudian dari itu, adalah pula seorang wanita dirawat pula akan dia dengan multiple organ failure. Maklumlah akan kalian yang membaca bagaimana kisahnya bersudah. Moga insaf dan taubat beraja di hati sesunguhnya kita semua hamba yang lemah, benarlah firman Allah di dalam kitabnya;
"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan."
Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab. Tamat sudah kisah hikayat perjalanan diri itulah adanya. Gelarnya seorang Dokter Muda yang menyurat ini. Sekian, moga beroleh kita manfaat darinya. Bersama hembusan rindu dari Mangkasara' Bumi Karaeng. Wasalam.Al-Ankabut 29:57
Biduk berlalu, kiambang bertaut. Adapun purnama berikutnya pulanglah kembali akan tuan punya blog ini ke pangkuan Wahidin tercinta. Setiap hari mencari pasti tekanan darah gerangan orang yang datang berobat. Bertanyakan barang apa ada masalah akan mereka. Dan di antara mereka-mereka itu banyak pula tinggi darah dan gulanya. Begitulah untuk beberapa ketika perjalanan hidup yang berliku-liku. Terkadang bersulam marah, terkadang terkena maki. Patah sayap kan bertongkat paruh, daka-daki ku daki jua. Moga Allah permudahkan jalan buat kita semua. Dan ingatlah bahawa dalam cita-cita mencari dunia, akhirat jangan dilupa. Moga syurga sentiasa menanti hamba yang sentiasa berjuang akan ia.
Daus M.D.
5 Mei 2011
5 Mei 2011
b*b*. hikayat salahlatu salahtin. hikayat bengong mahabangsat.
ReplyDeletehuuuhuuu.... mcm syair pun ada. Tahniah2!!!
ReplyDeletetp gambar tu mcm tau je kt mane...(",)