Saturday, July 9, 2011

Catatan kasih yang Bersih...

Puji dan puja kepada Empunya jagat raya. Salam kasih dan rindu buat Rasul tercinta. Gema kata "BERSIH" pun datang menyapa.

Yang pasti blogpost kali ini bukan kerana Ambiga atau Anwar. Bukan juga sebab dibayar atau tunduk gentar pada kerajaan pemerintah. Coretan ini semata-mata kerana kasih dan sayang pada negara dan supaya cita-cita kita bersih dari noda jijik rasuah, ketidakadilan, dan penipuan menjadi nyata. 

Lapan tuntutan pilihanraya bersih dan adil menjadi dasar perjuangan. Warna daulat raja dipakai oleh rakyat jelata. Menjunjung tinggi cita-cita murni demokrasi. Bukan merah yang menjadi gagah amarah. Yang jadi masalah ideologi ini datangnya dari barisan pihak pembangkang.  Pemerintah pun kalut. Yang betul menjadi salah. Lurus menjadi kusut. Rakyat bingung. Ada yang sokong, ada yang bantah, dan ada yang langsung tak ambil kisah. Menyerah pasrah sebelum darah tertumpah.

Melihat kepada dasar perjuangan BERSIH memang betul. Jelas dan tidak ada keraguan atasnya. Harum suci, semerbak nawaitu mewangi. Tapi sayang, matlamat tak menghalalkan cara. Demonstrasi di jalan bukanlah suatu solusi. Kita bukan anak jalanan. Perjuangan kita bukan picisan. Kita perjuangkan hak kita, tapi kita abaikan hak pengguna jalan yang lain. Pesakit kritikal dalam ambulans ke hospital terhalang. Doktor, pilot, jururawat, bomba, driver bus, driver  teksi,  peniaga, dan jaga yang nak pergi kerja tak kira masa semua kita langgar. Mereka yang  tidak ada kena-mengena terlibat masalah perjalanan. Adilkah perjuangan keadilan itu diatas jalan??? 

Tahukah kalian amat mudah perhimpunan aman itu menjadi kekacauan??? Sorak gegak gempita melaungkan semangat perjuangan dalam sekejap berubah menjadi peristiwa berdarah.  Tatkala emosi menguasai diri, provokasi dan elemen sentimen kabur mulai terhambur maka  gugurlah sebuah etika. Matlamat perjuangan pun berubah arah. Yang aman menjadi rusuhan. Anarkis dan ganas. Tenang menjadi gelombang. Water cannon dan pemedih mata pun datang. Semua  yang hadir dianggap penentang. Polis yang menjalankan tugas disangka menyerang. Padahal dah berkali-kali diingatkan dan diberi pilihan. Degil dan ego, yang salah tidak mengaku salah.   

Berbalik kita pada punca permasalahan - Kerajaan. Kebijakan dan langkah mapan dalam menerajui negara seharusnya meletakkan kalian di barisan depan. Bukan takut kepada lawan. Kita mahu negara ini aman dan makmur buat selamanya. Letakkan sesuatu pada tempat sewajarnya. Yang patut kerajaan bagi bukan sekadar janji. Naikkan harga minyak, gula, dan beras tinggi-tinggi. Buat perkara yang menjadikan rakyat benci.  Susah senang, keluh resah rakyat jarang-jarang ambil peduli. Memang hembusan bayu yang berpuput lembut kadang membuat kita lupa dan terbuai dari tanggungjawab. Tapi  nanti kalau datang ribut, kita rebah tumbang tanpa kata. Imej buruk dan busuk siapa yang suka???

Terima kasih atas dasar pendidikan negara yang telah berjaya melahirkan rakyat bijak pandai. Yang dapat menilai benar salah, baik buruk sesuatu perkara. Bukan lagi pemikiran kolot dan jumut. Ilmuan yang sayangkan negara, memperjuangkan kebenaran. Menuntut hak  kehidupan. Namun begitu, negara perlukan rakyat yang memiliki wibawa dan ketrampilan. Menyelesaikan masalah bukan dengan membuat masalah baru.  

 Akhir kata, akal budi gunakan untuk berbakti. jangan nanti kisah "Bersih" menjadi sejarah sedih dan catatan pedih buat kita yang kasihkan agama, bangsa dan negara....Marilah sama-sama kita perbaiki apa yang kurang. Perjuangan suci, akan selamanya dihormati. Disayangi kawan, dihormati lawan. Sesungguhnya masih banyak perkara yang kita perlu selesaikan secara damai. Malaysia, tanggungjawab kita semua... 

Semoga Allah permudahkan jalan buat kita...Wasalam...

No comments:

Post a Comment