Sebelum kata-kata dibuka, blogpost ini sama sekali tidak bermaksud untuk menghina atau merendahkan sesiapa. Kata-kata yang tertera adalah untuk memberi sebuah kefahaman mengenai “C.I.N.T.A”. Memang tidak banyak orang sudi membincangkan subjek tersebut. Kerana malu menjadi alasan, maka cuma beberapa yang mahu mengatakan apa itu cinta. Disebabkan wilayah cinta terlalu luas, perbincangan kita hanya akan mengatakan cinta antara lelaki dan wanita khususnya remaja. Dalam realiti hidup hari ini, cinta berlaku dimana-mana. Bersepah dari pusat membeli belah, taman bunga, tepi jalan, tengah jalan, universiti dan sekolah tidaklah terkira banyaknya ‘couple-couple’ yang mengatakan cinta dan berjanji setia. Memadu asmara, berkepit kesini- sana, berdua-duan tanpa malu dan segan. Bertimbun pula kisah dan peristiwa menggadai maruah kerana kata cinta. Entahlah, adakah itu yang dikatakan cinta?
Blogpost yang ini secara langsung datang dari hati nuraniku sebagai seorang anak muda yang sedang berusaha untuk memahami hakikat cinta. Sejauh mana pengertian, maksud dan keadaan cinta didasarkan pada pengalaman dan nukilan-nukilan mereka yang telah arif melalui kehidupan. Kerana cinta adalah soal hati dan rasa, marilah sama-sama kita fahami dan melihat cinta dari sisi insani hasil torseni Illahi. Adapun bermulalah hikayat dengan sebuah takrif mengatakan bahawa cinta adalah fitrah. Oleh hal yang demikian fitrah jangan menjadi fitnah. Rasa cinta bertandang ke dalam jiwa tanpa diundang dan diminta. Keinginan itu tidak perlu dicari atau dipelajari. Ia adalah hal semulajadi. Sejak sekian lama kita telah diajar dan dididik tentang syurga. Serba sempurna dan tiada apa yang kurang di sana. Namun, Adam a.s. tetap inginkan Hawa. Kerana cinta mereka setia, mereka terpisah lama namun bertemu juga di dunia. Kita adalah zuriat cinta mereka. Kerana kita adalah anak cucu mereka, maka kita juga mewarisi cinta.
Menurut pandangan Islam tiada yang salah dengan rasa cinta, tapi yang berlaku adalah kesalahan dalam menjalinkan hubungan cinta. Syariat dilanggar, hukum- hakam agama entah kemana. Apa yang haram menjadi halal. Menjadi megah bila melakukan apa yang ditegah. Itu yang salah. Cinta yang tadi suci, tercemar sudah. Bersalut nafsu dan kepentingan diri semata-mata. Ketika syahwat terpenuhi, dan apa yang dihajati didapat, cinta terkulai dan bersepai. Menyikapi hal yang demikian, ulama’ mengatakan
“Cintailah sesuatu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencian pada suatu ketika. Bencilah sesuatu itu sekadar saja, mungkin ia akan menjadi cinta pada suatu ketika.”
Islam datang untuk menunjuk jalan. Membawa panduan untuk menyelamatkan kita dari kesesatan. Apa perlu kita berpaling dari kebenaran? Tentulah tidak. Islam sama sekali tidak menghalang cinta kerana cinta itu fitrah. Tapi fitrah perlukan hidayah. Datangnya hidayah dari Allah. Dari situ kita melihat, cinta datang dari Allah. Untuk mendapatkan cinta, kita perlu dapatkan hidayah Allah. Keduanya itu bertakhta di hati. Menurut kisah, hidayah ibarat air yang mencurah manakala hati adalah wadah. Jika wadah hati tidak dibuka, mana mungkin hidayah tercurah masuk ke kalbu. Bukalah hati, dan berdoalah untuk mendapat hidayah. Kerana hidayah adalah cahaya petunjuk dan pelita nurani. Setelah pintu hati terbuka dan bersedia memahami, berjuanglah mencari ilmu. Dengan ilmu jua Allah memberi hidayah. Demikian Islam mengajar cara kita memahami erti cinta hakiki.
Sesungguhnya cinta yang hakiki adalah tumpahan lautan perasaan yang matang dan sangat dalam. Ia bukan perasaan yang diharap untuk hadir , kemudian kita ikut kemana ia pergi. Cinta adalah gejolak perasaan yang datang secara refleks. Ia terlahir dengan penuh semangat, kasih sayang dan kegembiraan. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Begitulah adanya cinta. Cinta sejati tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak pula berkurang kerana keburukan.
Perbicaraan diteruskan, cinta adalah komitmen, tanggungjawab dan amanah. Tidak cukup mengatakan cinta atas dasar suka sama suka. Bezanya suka ada di muka dan kata, sedangkan cinta ada di dasar hati. Cinta yang sejati dan mulia, diiringi usaha dan setia. Cinta bukan sekadar di bibir sahaja. Love is a verb. Cinta adalah perbuatan dan tindakan. Memerlukan pengorbanan dan saling pengertian. Memahami antara satu dengan yang lain. Melengkapi dan memenuhi bukan untuk diri sendiri. Memberi dan sama-sama merasa. Dan itu semua hanya boleh berlaku dengan adanya sebuah pernikahan. Jalan untuk mencapai hasil cinta sesunguhnya panjang dan berliku. Untuk mendapatkan teman hati yang baik, kita perlu menjadi baik. Itulah ketentuan yang telah ditetapkan. Perbaiki diri, tambahlah apa yang kurang. Sempurnakan ia.
Firman Allah s.w.t;
“Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik. Manakala, lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.” (An-Nur 24:26)
“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepadamu. Ada pula perkara yang kamu tidak suka padahal ia membawa kebaikan kepadamu. Kamu tidak mengetahui, Allah jua yang lebih mengetahui.”(Al-Baqarah; 216)
Kita ingin orang yang kita suka, yang kita cinta terus setia bersama. Biar sampai menempuh nikah, menjejak pelamin. Beranak cucu hingga ke akhir hayat. Tapi Allah jua yang menentukan segala urusan. Redha dan serahkan semuanya pada Maha Berkuasa. Bagi pencinta Allah mereka merasa tenang dalam derita. Rasa mulia ketika dihina. Rasa lapang ketika kesempitan. Ketika diberi kesenangan mereka syukur, ketika ditimpa musibah mereka sabar. Mereka sentiasa beruntung dan bahagia.
Perkahwinan jua yang membenarkan kesucian cinta. Menyelamatkan kita dari dosa dan zina. Menutup fitnah dan menjaga amanah. Pernikahanlah yang menyempurnakan sunnah. Tuntutan agama terpenuhi akhirnya bersama kemanisan cinta. Hanya yang bergelar suami dan isteri layak membuktikan cinta mereka setia. Kemudian cinta itu diwariskan kepada zuriat penerus keturunan. Berbahagialah mereka hingga ke syurga.
Seiring waktu berlalu, hatiku mula memahami apa itu cinta. Yang pasti ia suci dan sama sekali tidak boleh bersulam dosa. Harus dijaga dan dibaja. Disiram kasih, diberi sayang. Mengerti cinta tidak semestinya memiliki kerana kita sentiasa dimiliki. Tidak mengharap dan tidak berharap. Usaha juga dasarnya. Dilanjut segala pasrah di tangan Allah.
“Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjuk yang baik dari-Mu, dengan ilmu-Mu. Aku minta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari kelebihan-Mu yang maha banyak. Maka sesungguhnya Engkau berkuasa, dan aku tidak berkuasa. Engkau mengetahui, dan Engkaulah yang paling mengetahui segala perkara. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka tentukannya untukku dan permudahahkanya kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka elakkanya dariku dan elakkan diriku daripadanya.Tentukanlah kebaikan dimana sahaja aku berada. Sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa atas segala sesuatu…”
"“Ya Allah, berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintai diriku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu…”
Begitulah coretan serba-sedikit tentang cinta. Apa yang baik dari Allah dan yang buruk itu dari diri yang lemah ini. Banyak kata-kata dalam blogpost diatas diambil dari sumber-sumber seperti di bawah ini:
1) “Tentang Cinta” / Pahrol Mohd Juoi.
2) “Ajari Aku Cinta” / Khalid Jamal
3) “Istikharah di Atas Sejadah Cinta”/ Mustapha Mahmud
4) “Understanding Love”/ Phillips Douglas
______________________________________________
P/s Untuk awak yang tersayang:
Bertahun-tahun jarak memisahkan kita. Saya tak pernah ada kesempatan untuk nak bagitahu dan terus-terang pada awak. Saya mengaku memang pernah ada insan selain awak di hati saya. Saya juga tahu di hati awak juga pernah ada insan selain saya. Saya tak kisah dengan semua tu sebab saya telah faham apa itu cinta... Saya cuma nak awak tahu beberapa perkara tentang saya. Ketahuilah saya tidak pernah menolak awak. Dan saya tidak mengatakan saya telah menerima awak. Saya tak nak sia-siakan awak. Saya taknak mainkan perasaan awak. Saya hormat kedudukan awak. Saya sanjung kesucian diri awak. Saya taknak hati awak terluka sebab saya. Saya taknak kecewakan awak dengan harapan.
Dulu saya tak faham apa itu cinta. Sekarang saya mulai mengerti. Sungguh saya belum bersedia untuk memberi awak cinta. Masih banyak yang kurang pada diri saya. Masih jauh perjalanan kita. Saya tak dapat nak bagi komitmen saya untuk awak sekarang memandangkan kita berjauhan dan masih sama-sama tengah belajar. Kita sama-sama mempunyai cita-cita dan impian. Kita ada tanggungjawab untuk masa depan. Buat masa sekarang saya memang betul-betul tak dapat berikan awak bahagia. Maaf andai ini membuat awak terluka.
Percayalah jika Allah izinkan kita bersama, saya akan menerima awak apa adanya. Saya janji akan jadikan awak isteri saya.. Teman hati, pengubat rindu dan penawar sepi. Ibu kepada anak-anak saya. Penyeri dan permaisuri hati. Saya akan setia menunggu awak. Jika seandainya awak menemui orang yang lebih baik dari saya dalam penantian ini, saya relakan dan saya redha awak hidup bersama dia. Saya harap awak faham sesungguhnya saya mencintai dan menyayangi awak semata-mata kerana Allah. Semoga Allah permudahkan jalan kita. Sekian…
gud luck
ReplyDeletemantap daus.. suka artikel nih.. truskan usaha
ReplyDelete;)
ReplyDelete