Kisah yang dipaparkan nanti menyorot ke suatu sudut; Taharah Bi Qalbi atau kata lainnya Penyucian Dengan Hati. Suatu kisah yang diubah serba sedikit demi kesesuaian watak, latar tempat dan masa. Semoga sedikit sebanyak bermanfaat untuk yang berkenaan, kini dan masa depan.
Jangan pernah kita menilai insan melalui paras rupa, pangkat, harta, darjat dan siapa dia. Nilailah dia melalui pekerti dan hatinya. Allah tidak sekali-kali menilai seseorang itu melalui bentuk tubuhnya, raut wajah, jawatan dan kediamannya tetapi Allah memandang tepat ke dalam hati hamba-hamabanya. Persoalan yang timbul, bagaimana kita dapat menilai hati? Menurut pengalaman hidup yang hakiki, hati hanya dapat dinilai oleh hati. Konsep ini nyata dan amat mudah untuk difahami. Sebagai contoh perbandingan analogi, angka 2 hanya dapat diketahui nilainya melalui angka juga, 1+ 1 = 2, 4-2 = 2, dan begitulah seterusnya. Nilai-nilai ini bersifat tepat dan tiada keraguan atasnya lagi. Tetapi, apabila angka 2 dinilai dengan a+b = 2 atau persamaan lain yang sewaktu dengannya, maka nilai yang kita peroleh membawa kepada nilai yang abstrak. Angka 2 berubah menjadi hal yang berbeza dari yang sepatutnya. Malah lebih merumitkan persamaan tadi membawa kepada beberapa persoalan yang lebih payah. Maka, sebagaimana angka 2 dinilai oleh angka begitulah juga halnya dengan hati ; yang mengenal hati adalah hati.
Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan degil, ketenangan dan keresahan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu menyucikannya namun sebaliknya ia merupakan sumber kedukaan jika kita mencemarinya dengan noda debu dan kotoran dunia. Kesan dan akibat perbuatan kita sentiasa berkait rapat dan berpunca daripada benderang atau gelitanya hati. Sebelum kita melangkah lebih jauh lagi, menilai hati tidak semudah yang kita sangka. Seringkali kita tersalah. Maka sebelum kita menilai hati yang ada pada insan lain, lihatlah sekilas hati kita terlebih dahulu. Jawapan yang pasti ada sebelum adanya pertanyaan, hati selalu harus bersih. Hati yang bersih membawa kepada hidup yang sempurna.
Abu Hurairah berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya". Antara lain, kita sering mendengar, “ Dalam diri kamu ada seketul darah, seandainya ia baik, baguslah seluruh tubuhmu, tetapi seandainya ia buruk, maka buruklah tubuhmu yang lainnya; itulah hati. Maka jagalah ia”. Sorotlah ke suatu sudut, diri harus suci, zahir dan batinnya. Diri dibersihkan melalui subjek berdarah yang bernama hati. Penyucian bentuk ini dinamai Taharah Bi Qalbi ; Penyucian Dengan Hati. Begitu banyak cara yang disyariatkan dan tidak terkira jumlahnya jalan-jalan pembersihan jiwa yang diajar dalam agama. Amalan sehari-hari, ibadah, hidup dan perlakuan yang dianjurkan adalah demi menjaga kesucian sekeping hati. Hal yang demikian dapatlah digambarkan sebagai mencari putihnya arang yang legam. Lebih tepat lagi menjejak merpati putih di kawanan gagak hitam.
………………………………………………………………………………………
“Aliff. Ba, Ta...”, perlahan suara nyaring anak kecil berumur empat tahun itu menyebut satu-persatu huruf dalam muqaddamnya. “Wau, hamzah, lam aliff, ya... wasalamun... Sadaqallahul’azim”, sambungnya lagi. Hening petang di rumah papan itu dipecahkan oleh suara kecil anak tersebut. Memang lancar bacaannya, malah dia boleh menyebut huruf- huruf tersebut tanpa melihat lembaran itu. Semua sudah dihafal. “Atok, bila Along nak sambung ngaji nih...asyik yang ni je..dulu atok cakap kalau dah pandai aliff, ba, ta boleh belajar yang lain...”, anak kecil itu mengadu kepada datuknya, merangkap guru mengajinya itu. “Along kena mahir betul-betul, mengaji bukan senang, ngaji ni kita nak pakai sampai mati... Kalau baca salah berdosa jadiknya..”jawab lelaki tua itu. “Kita nak semayang, nak baca doa semua kena pandai ngaji tau...yela..nanti besok atok aja yang lain pulak..dah, pegi mandi pastu ikut atok pegi masjid...”, sambungnya lagi. Along menurut sahaja arahan datuknya itu. Kain tuala dicapai dan dia terus menuju ke bilik mandi.
Along adalah cucu yang tinggal bersama- sama dengan nenek dan datuknya di kampung sejak dia berumur dua bulan. Ibu bapanya ingin dia dibesarkan dalam suasana desa. Dia diasuh dengan penuh kasih dan sayang. Along telah dididik dengan nilai-nilai agama serta budaya Melayu oleh datuk dan neneknya itu. “Along buat apa dalam bilik air tu? Lama sangat da nih...nak Maghrib ni, jangan main air lama-lama, tak baik..”suara neneknya kedengaran dari ruang dapur. “Ala nek, kejap la...”balas Along. “Hah, bagus la tuh da pandai menjawab.. Cakap nenek tak pernah nak dengar...Ape nak jadi la kamu ni, Along...”nada suara neneknya seakan marah. “Jeng-jeng, Along da siap mandi...nek pakaikan Along baju eh..”minta anak kecil itu dengan manja. “Macam- macam la kamu ni...pegi amek baju kat bilik..hish, nasib baik la kamu tu cucu aku...”balas neneknya. “Ok”balas Along ringkas. “Nanti pegi masjid, jangan buat bising...duduk diam-diam tau”pesan neneknya sambil memakaikan Along baju. “Along tau la nek..”jawab anak kecil yang comel itu. “Da hensem da cucu nenek ni...”puji nenek. “Terima kasih, nek..”kata Along. “Along, da azan ni... cepat sikit.. lambat nanti”panggil datuknya. Mereka berdua kemudian berjalan kaki ke masjid yang tidak jauh dari rumah datuknya itu. Sampai di masjid, Along duduk di saff paling belakang bersama-sama anak-anak yang seumur dengannya. Sewaktu sembahyang, Along mengikut sahaja gerak-geri jemaah di hadapannya. Dia tidak begitu pasti apa harus dibaca dan kenapa dia harus berbuat begitu. Selesai solat, Along pulang ke rumah bersama datuknya. “Atok, kenapa kita sembahyang?” Tanya Along ringkas. “Sembahyang tu wajib, sembahyang adalah tiang agama...sembahyang bezakan kita dari agama lain... dapat jauhkan diri dari dosa, dekatkan diri dengan Tuhan...sucikan hati, dan macam-macam lagi...kalau kita tak sembahyang, kita berdosa, bila berdosa boleh masuk neraka..paham?” jelas datuknya panjang lebar. “Owh, macam tu rupanya..baru Along tau..”balas Along. “Besok Along nak ikut Atuk pegi kebun tak?”Tanya datuknya. Tak nak la..nanti kene gigit nyamuk...”Along menolak. “Ala sikit je, orang lelaki kene kuat...setakat nyamuk ape la sangat..”perli datuknya. “Yela, esok Along ikut Atuk pegi kebun...Along mane ade takut nyamuk..”, Along mengalah mungkin kerana dia masih mentah waktu itu, masih tidak matang dalam membuat pertimbangan.
Besoknya sewaktu sarapan pagi di dapur. “Mane cucu awak ni, kata semalam nak ikut saya ke kebun. Takkan nak tunggu sampai matahari tinggi. Terik la jawabnya..” kata datuk kepada nenek. “Macam la awak tak tau cucu kita tuh manja terlebih..da bangun tadi..ade lagi dalam bilik air agaknya...” jawab nenek. “Atok, cepatlah...Along kat luar ni...kata nak pegi kebun..lambat karang” Suara kecil Along kedengaran. “ E’eh, kita pulak yang dimarahnya...cucu awak la tu...” kata datuk lagi. “Ni bekalnye, nanti kalau ade kelapa tua bawak balik 2 bijik ye...tengahari ni nak masak lemak..” pesan nenek. Along yang sudah menunggu di atas motor Honda datuknya itu mengambil bekal dan parang datuknya. Along duduk dalam bakul depan motor itu. Merka bergerak menuju ke kebun melewati denai kecil di hujung kampung itu. Along meletakkan barang-barang di pondok kecil di kebun itu. Datuknya menebas rumput dan pohon-pohon senduduk yang melata di kebun. “Atok, nape pokok ni semua takde buah?” tanye Along kepada datuknya yang sibuk itu. “ La, bukan musim buah macam mane nak ade buah...tunggu la tak lama lagi ade la tu...” jawab datuk. “ Pegi kutip kelapa tua 2 biji letak kat pondok...nenek pesan tadi..dia kata nak masak lemak tengahari ni...” sambung datuk lagi. “Erm, baik lah Atok..”Along menjawab. Pantas dia pergi mencari kelapa tua seperti yang diarahkan datuknya. Dengan bersusah-payah dia membawa kelapa tersebut ke pondok. Berpeluh-peluh. Setelah itu Along duduk di pondok kecil itu menunggu datuknya. Dia menampar dan menepuk nyamuk-nyamuk yang hinggap di tubuh kecilnya itu.
“Atok, banyak nyamuk la...” rengek Along. “ Kejap la..Sikit lagi nih..” balas datuknya. Lalu datuk datang ke pondok di mana Along berada. Pada masa yang sama, di tangan kirinya menggenggam semacam suatu kotak, dan yang pasti itu bukanlah kotak tisu atau kotak fikirannya. Itu adalah kotak mancis. Perlahan datuk mengumpul daun-daun kering dan ranting kayu di sekitar pondok. Api dinyalakan. Berkepul-kepul asap menerawang ke ruang udara. “Meh la sini tolong atok hidupkan api ni...baru la takde nyamuk...” kata datuk. “ Malas la tok,penat angkat kelapa ni tadi...”Along membalas. Perlahan datuk merapati Along, membuka bekal dan meneguk air yang dibawa. “Kesiannya cucu atok nih...” datuk menunjukkan rasa simpatinya. Di pondok kecil itu mereka berdua melepaskan lelah dan penat. “Along kalau dah besar nak jadi ape?” tanya datuk kepada cucunya itu. “Entah la tok...Along pon tak tau..” pantas Along membalas. “ Atok tak kesah kamu nak jadik ape nanti, tu hak kamu...Ingat pesan Atok nih...jangan tinggal semayang, jangan lupe ngaji, dengar cakap mak ayah, jangan nakal-nakal, belajar rajin-rajin, biarlah kita miskin harta tapi jangan miskin budi bahasa... biar hidup kita susah macam mana pon hati kene kene kuat,kene selalu bersih...” pesan datuk. “Baik atok...” Along menurut sahaja.
Petang itu, seperti biasa Along mengaji lagi. Halaman yang baru, helaian yang lain. Setelah surah-surah lazim dalam muqaddam itu selesai dihafalnya, waktu berubah seiring umur datuk dan neneknya, Along mula membaca dan belajar Al-Quran dari datuknya. Ayat demi ayat, halaman demi halaman, juzuk demi juzuk. Dipelajari panjang pendek bacaan, hukum-hukum tajwid, mahraj dan sebutan yang tepat dan betul. Semakin redup pandangan nenek dan datuknya, semakin memutih uban di kepala mereka dan Along semakin dewasa. Akhirnya Along khatam membaca Al-Quran. “Along, Quran ni bukan baca sekali khatam seumur hidup tau...baca hari-hari, jadikan dia teman di hati..” kata datuk sewaktu Along khatam Al-Quran pertama kali. “Banyak lagi yang Along kena belajar pasal Quran, Atok tak dapat nak ajar semua...”kata datuk lagi. Kitab suci dalam dakapan Along dikucup dan dijunjungnya berkali-kali. Sudah agak lusuh naskah itu. Tapi isi dan intinya tak pernah berubah. Sebagaimana teguh dan kuatnya kasih seorang datuk kepada seorang cucu. “Syukur, khatam dah cucu kita mengaji ye bang, terang hati budak tu...kalau kita takde nanti boleh dia ngaji untuk kita kan, bang...” kata nenek. “Ishk, awak nih kesitu tu pulak dia...Insyallah, ada rezeki minggu depan kita buat kenduri sikit. Kita sunat sekali budak tuh..” balas datuk.
Seminggu setelah selesai acara kenduri dan Along pun selamat dikhatankan. “Yess.. Along dah besar...”jerit Along keriangan. Di ruang tamu, “Mak, ayah, saya dah pikir abis ni...saya rasa sebagai ibu dah sampai masanya saya ambil balik anak saya...dulu mak ayah yang besarkan saya, sekarang biarlah saya pulak besarkan anak saya...Saya nak ambil Along tinggal dengan saya...Mak ayah rehatlah...tak payah susah-susah lagi jaga Along...” kata ibu kandung Along. “Along pon da besar, tahun depan nak masuk darjah satu dah..” sambung ibunya lagi. “Mak dengan ayah tak kisah, dah Along tu anak kamu, kamu la yang patut jage dia...tapi nanti kalau cuti sekolah ke, raye ke, biarlah Along duduk kat kampung ni ha...” kata datuk. “ Baiklah, mak ayah” kata ibu Along. “Atok, nenek jage diri tau...Along nak tinggal dengan mak ayah ni...nanti Along telefon nenek dengan Atok...” kata Along. “Along tak mau sedih-sedih la...atok kan ade nak temankan nenek...pergilah ikut ibu dengan ayah..”kata nenek. “Mak, ayah, terima kasih banyak-banyak besarkan Along selama nih...saya mintak halal makan minum dia,pakai dia” kata ayah Along pula. “Along, ingat pesan Atok...jangan tinggal sembahyang, jangan lupe ngaji, dengar cakap mak ayah, jangan nakal-nakal, belajar rajin-rajin, biarlah kita miskin harta tapi jangan miskin budi bahasa... biar hidup kita susah macam mana pon hati kene kene kuat,kene selalu bersih...” pesan datuk.
Semenjak hari itu, Along tidak lagi tinggal bersama nenek dan datuknya. “Sunyi rumah ni...” kata nenek. “Dulu mase Along ade awak marah-marah dia...ni dah takde budak tuh tau pulak awak sunyi..” balas datuk. “ Saya marah dia sebab saya sayang dia. Saya nak dia jadik budak baik, dengar cakap, hormat kat kita..” nenek berkata lagi. “Saya tau la...” datuk mencelah. Setelah itu datuk keluar. Nenek melamun sendiri dirumah. Lamunannya itu tiba-tiba terhenti. Kringggg!!!!! Kringggg!!!! “Helo, nenek eh??Along la ni.. Atok dengan nenek ape kaba??da makan blom??” Sayup-sayup suara kecil Along di telefon. Hati nenek tiba-tiba sayu. Nenek terdiam. Cuba menyusun kata-kata memberikan jawapan terbaik kepada si comel berusia enam tahun itu. “Ya, nenek cakap nih cu…nenek dengan atok sehat Alhamdulillah..nenek da makan dengan Atok tadi…Cucu nenek macam mane??” kata nenek perlahan. “Along sihat,mak,ayah adik-adik sumer sihat…Along rindu kat atok dengan nenek..sebab tu Along telefon nih….ok la nenek, nanti kirim salam pada atok…Along tak boleh cakap lame-lame ni…Assalamualaikum…” kata Along lagi. “Wa’alaikumsalam” balas nenek. Sebelum sempat telefon diletak kembali ke meja, air mata nenek lebih dulu membasahi pipi. Nenek mengumpul kekuatan untuk menahan sebak di dada, tapi semakin pantas titis-titis jernih tumpah dari kelopak matanya. Nenek menyeka genangan yang sehangat tubuh itu. Menghela nafas panjang semacam mengeluh. Membuang jauh rindunya terhadap Along.
“Ibu, tadi ada orang mintak sedekah. Kaki dia takde sebelah. Kesian dia, bu…” kata Along kepada ibunya. “Habis tu, Along buat ape?” Tanya ibunya. “Along nak bagi duit, tapi Along takde duit…jadik Along bagi jerk die senyuman...senyum tu kira sedekahkan, bu?”kata along lagi. “Iyalah tu, lain kali bagi tau ibu…ibu kan ade duit…”balas ibunya. “Along da sembahyang?” ibunya bertanya lagi. “Belum lagi” jujur Along menjawab. “Lepas makan, pegi mandi, sembahyang, lepas tu ngaji…ajak adik sekali” arah ibunya. Along menurut sahaja. Besoknya, sebelum ke sekolah, “Ibu, dulu atok ade cakap, hati kene selalu bersih, macam mane tuh? Kita basuh hari-hari ke?” soalan dari Along kepada ibunya. “Mestilah basuh hari-hari kalau nak bersih. Basuh dengan ayat Quran, sembahyang, doa, buat baik, bagi kasih sayang…kita buat sumer tu untuk bersihkan hati ”jawab ibu. “Banyak lagi yang kita boleh buat, macam berzikir, istigfar,bertasbih, bertakbir, bertahmid, bertaubat,dan lain-lain lagi” sambung ibu.
Suatu hari pulang dari sekolah, Along terkejut kerana ayah dan ibu bersiap-siap untuk pulang ke kampung. “Kenapa kita nak balik kampung?Cuti sekolah lambat lagi…” tanya Along kehairanan. Persoalannya itu tidak berjawab. Dia menurut sahaja ibu dan ayah. Di dalam perjalanan semuanya diam. Sampai di perkarangan rumah datuk dan nenek, sudah ramai berbaju melayu dan bersongkok. “Kenapa nenek tak bagitau nak buat kenduri lagi ayah?” Along cuba mendapatkan kepastian. “Ni bukan kenduri la Along…”balas ayahnya. Along keluar dari kereta itu. Berlari ke dalam ruamah di mana dia membesar. Sekujur badan berselimut ditengah-tengah ruang tamu. Along masih tidak faham. Nenek ada di suatu sudut. Membaca sesuatu. Along pantas mendapatkan neneknya itu. “Nenek, Atok mana?” Along bertanya. “Ni siapa yang tidur tengah-tengah orang ramai ni?” Tanya Along lagi. Sayu pandangan nenek terhadap Along. Suasana hiba. “Along, meh sini sayang…” panggil nenek. “ Atok kamu da takde, Long…” perlahan suara nenek. “Atok pegi mane nek?” Along tidak mengerti. “Atok kamu da pergi jauh…dia takkan balik sini lagi..Atok dah meninggal…yang kat tengah-tengah tu atok la…” nenek cuba menerangkan. “Atok da tinggalkan kita la nek...Along nak tengok Atok boleh tak?” Along menyatakan itu. Perlahan nenek memimpin tangan cucunya itu. Duduk di sisi tubuh yang kaku itu. Menyelak kain menampakkan wajah arwah yang pucat. Along terdiam, dia tahu telah terbukti itu datuknya. Dia juga tahu itu kali terakhir dia melihat raut wajah datuknya. Dia merapati datuknya yang terbaring itu, mengucup pipi dan dahi datuknya. Setelah itu ibunya menarik Along ke tepi. “Sabar banyak-banyak. Hadiah Fatihah kat Atok” kata ibunya. Selepas Asar, jenazah datuk selamat dikebumikan. Berpisah lah Along dan datuknya buat selama-lamanya. Sepanjang itu, dan sampai sekarang Along tidak pernah menangisi pemergian datuknya. Tiada sebab untuk dia bersedih kerana tiada kekosongan di sanubarinya, datuk meninggalkan teman di hatinya; al-Quran. Yang sering Along lakukan cuma memanjat doa dan menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci itu.
Along berumur 20 tahun sekarang. Sudah bergelar anak muda. Pagi Aidilfitri ini, dia duduk dipusara arwah datuknya. Dia sendiri di situ bertemankan nisan-nisan. “Bismillahhirahmannirrahim.....Yaaa sin....” Along mengalunkan bacaan itu sampai ke akhirnya. Nikmat haruman kemboja yang tidak tertanding dengan udara segar dipagi hari menusuk hidungnya. Along merasa suatu ketenangan yang belum pernah dirasakannya sebelum ini. Terimbau kenangan waktu kecilnya dulu. Masih segar dalam ingatan. Pesan datuknya, “Along, ingat pesan Atok...jangan tinggal sembahyang, jangan lupe ngaji, dengar cakap mak ayah, jangan nakal-nakal, belajar rajin-rajin, biarlah kita miskin harta tapi jangan miskin budi bahasa... biar hidup kita susah macam mana pon hati kene kene kuat,kene selalu bersih...” Ya, hati kene selalu kuat,kene selalu bersih, Along takkan lupakan itu. Terima kasih Atok...
Menadah kedua belah tangan, meraup perlahan wajahnya itu. Along berdoa :
“Ya Allah, engkau mengetahui hatiku mengasihiMu, sentiasa mengingatiMu, wujud untuk mematuhi perintahMu, bersedia memikul beban dakwahMu, hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan hati ini dengan jalanMu yang sebenar. Penuhkanlah piala hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tak kunjung malap. Lapangkanlah hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkanlah hati ini dengan makrifat pengetahuan sebenar tentangMu. Jika engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agamaMu, Engkaulah sebaik-baik sandaran dan Maha memperkenankan segala permintaan... Amin...”
-Kasturi Sepi-