Saturday, June 12, 2010

About Love…

Sebelum kata-kata dibuka, blogpost ini sama sekali tidak bermaksud untuk menghina atau merendahkan sesiapa. Kata-kata yang tertera adalah untuk memberi sebuah kefahaman mengenai “C.I.N.T.A”. Memang tidak banyak orang sudi membincangkan subjek tersebut. Kerana malu menjadi alasan, maka cuma beberapa yang mahu mengatakan apa itu cinta. Disebabkan wilayah cinta terlalu luas, perbincangan kita hanya akan mengatakan cinta antara lelaki dan wanita khususnya remaja. Dalam realiti hidup hari ini, cinta berlaku dimana-mana. Bersepah dari pusat membeli belah, taman bunga, tepi jalan, tengah jalan, universiti dan sekolah tidaklah terkira banyaknya ‘couple-couple’ yang mengatakan cinta dan berjanji setia. Memadu asmara, berkepit kesini- sana, berdua-duan tanpa malu dan segan. Bertimbun pula kisah dan peristiwa menggadai maruah kerana kata cinta. Entahlah, adakah itu yang dikatakan cinta?


Blogpost yang ini secara langsung datang dari hati nuraniku sebagai seorang anak muda yang sedang berusaha untuk memahami hakikat cinta. Sejauh mana pengertian, maksud dan keadaan cinta didasarkan pada pengalaman dan nukilan-nukilan mereka yang telah arif melalui kehidupan. Kerana cinta adalah soal hati dan rasa, marilah sama-sama kita fahami dan melihat cinta dari sisi insani hasil torseni Illahi. Adapun bermulalah hikayat dengan sebuah takrif mengatakan bahawa cinta adalah fitrah. Oleh hal yang demikian fitrah jangan menjadi fitnah. Rasa cinta bertandang ke dalam jiwa tanpa diundang dan diminta. Keinginan itu tidak perlu dicari atau dipelajari. Ia adalah hal semulajadi. Sejak sekian lama kita telah diajar dan dididik tentang syurga. Serba sempurna dan tiada apa yang kurang di sana. Namun, Adam a.s. tetap inginkan Hawa. Kerana cinta mereka setia, mereka terpisah lama namun bertemu juga di dunia. Kita adalah zuriat cinta mereka. Kerana kita adalah anak cucu mereka, maka kita juga mewarisi cinta.

Menurut pandangan Islam tiada yang salah dengan rasa cinta, tapi yang berlaku adalah kesalahan dalam menjalinkan hubungan cinta. Syariat dilanggar, hukum- hakam agama entah kemana. Apa yang haram menjadi halal. Menjadi megah bila melakukan apa yang ditegah. Itu yang salah. Cinta yang tadi suci, tercemar sudah. Bersalut nafsu dan kepentingan diri semata-mata. Ketika syahwat terpenuhi, dan apa yang dihajati didapat, cinta terkulai dan bersepai. Menyikapi hal yang demikian, ulama’ mengatakan

“Cintailah sesuatu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencian pada suatu ketika. Bencilah sesuatu itu sekadar saja, mungkin ia akan menjadi cinta pada suatu ketika.”

Islam datang untuk menunjuk jalan. Membawa panduan untuk menyelamatkan kita dari kesesatan. Apa perlu kita berpaling dari kebenaran? Tentulah tidak. Islam sama sekali tidak menghalang cinta kerana cinta itu fitrah. Tapi fitrah perlukan hidayah. Datangnya hidayah dari Allah. Dari situ kita melihat, cinta datang dari Allah. Untuk mendapatkan cinta, kita perlu dapatkan hidayah Allah. Keduanya itu bertakhta di hati. Menurut kisah, hidayah ibarat air yang mencurah manakala hati adalah wadah. Jika wadah hati tidak dibuka, mana mungkin hidayah tercurah masuk ke kalbu. Bukalah hati, dan berdoalah untuk mendapat hidayah. Kerana hidayah adalah cahaya petunjuk dan pelita nurani. Setelah pintu hati terbuka dan bersedia memahami, berjuanglah mencari ilmu. Dengan ilmu jua Allah memberi hidayah. Demikian Islam mengajar cara kita memahami erti cinta hakiki.

Sesungguhnya cinta yang hakiki adalah tumpahan lautan perasaan yang matang dan sangat dalam. Ia bukan perasaan yang diharap untuk hadir , kemudian kita ikut kemana ia pergi. Cinta adalah gejolak perasaan yang datang secara refleks. Ia terlahir dengan penuh semangat, kasih sayang dan kegembiraan. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Begitulah adanya cinta. Cinta sejati tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak pula berkurang kerana keburukan.

Perbicaraan diteruskan, cinta adalah komitmen, tanggungjawab dan amanah. Tidak cukup mengatakan cinta atas dasar suka sama suka. Bezanya suka ada di muka dan kata, sedangkan cinta ada di dasar hati. Cinta yang sejati dan mulia, diiringi usaha dan setia. Cinta bukan sekadar di bibir sahaja. Love is a verb. Cinta adalah perbuatan dan tindakan. Memerlukan pengorbanan dan saling pengertian. Memahami antara satu dengan yang lain. Melengkapi dan memenuhi bukan untuk diri sendiri. Memberi dan sama-sama merasa. Dan itu semua hanya boleh berlaku dengan adanya sebuah pernikahan. Jalan untuk mencapai hasil cinta sesunguhnya panjang dan berliku. Untuk mendapatkan teman hati yang baik, kita perlu menjadi baik. Itulah ketentuan yang telah ditetapkan. Perbaiki diri, tambahlah apa yang kurang. Sempurnakan ia.

Firman Allah s.w.t;

“Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik. Manakala, lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.” (An-Nur 24:26)

“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepadamu. Ada pula perkara yang kamu tidak suka padahal ia membawa kebaikan kepadamu. Kamu tidak mengetahui, Allah jua yang lebih mengetahui.”(Al-Baqarah; 216)


Kita ingin orang yang kita suka, yang kita cinta terus setia bersama. Biar sampai menempuh nikah, menjejak pelamin. Beranak cucu hingga ke akhir hayat. Tapi Allah jua yang menentukan segala urusan. Redha dan serahkan semuanya pada Maha Berkuasa. Bagi pencinta Allah mereka merasa tenang dalam derita. Rasa mulia ketika dihina. Rasa lapang ketika kesempitan. Ketika diberi kesenangan mereka syukur, ketika ditimpa musibah mereka sabar. Mereka sentiasa beruntung dan bahagia.

Perkahwinan jua yang membenarkan kesucian cinta. Menyelamatkan kita dari dosa dan zina. Menutup fitnah dan menjaga amanah. Pernikahanlah yang menyempurnakan sunnah. Tuntutan agama terpenuhi akhirnya bersama kemanisan cinta. Hanya yang bergelar suami dan isteri layak membuktikan cinta mereka setia. Kemudian cinta itu diwariskan kepada zuriat penerus keturunan. Berbahagialah mereka hingga ke syurga.

Seiring waktu berlalu, hatiku mula memahami apa itu cinta. Yang pasti ia suci dan sama sekali tidak boleh bersulam dosa. Harus dijaga dan dibaja. Disiram kasih, diberi sayang. Mengerti cinta tidak semestinya memiliki kerana kita sentiasa dimiliki. Tidak mengharap dan tidak berharap. Usaha juga dasarnya. Dilanjut segala pasrah di tangan Allah.

“Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjuk yang baik dari-Mu, dengan ilmu-Mu. Aku minta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari kelebihan-Mu yang maha banyak. Maka sesungguhnya Engkau berkuasa, dan aku tidak berkuasa. Engkau mengetahui, dan Engkaulah yang paling mengetahui segala perkara. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka tentukannya untukku dan permudahahkanya kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka elakkanya dariku dan elakkan diriku daripadanya.Tentukanlah kebaikan dimana sahaja aku berada. Sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa atas segala sesuatu…”

"“Ya Allah, berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintai diriku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu…”


Begitulah coretan serba-sedikit tentang cinta. Apa yang baik dari Allah dan yang buruk itu dari diri yang lemah ini. Banyak kata-kata dalam blogpost diatas diambil dari sumber-sumber seperti di bawah ini:
1) “Tentang Cinta” / Pahrol Mohd Juoi.
2) “Ajari Aku Cinta” / Khalid Jamal
3) “Istikharah di Atas Sejadah Cinta”/ Mustapha Mahmud
4) “Understanding Love”/ Phillips Douglas
______________________________________________
P/s Untuk awak yang tersayang:

Bertahun-tahun jarak memisahkan kita. Saya tak pernah ada kesempatan untuk nak bagitahu dan terus-terang pada awak. Saya mengaku memang pernah ada insan selain awak di hati saya. Saya juga tahu di hati awak juga pernah ada insan selain saya. Saya tak kisah dengan semua tu sebab saya telah faham apa itu cinta... Saya cuma nak awak tahu beberapa perkara tentang saya. Ketahuilah saya tidak pernah menolak awak. Dan saya tidak mengatakan saya telah menerima awak. Saya tak nak sia-siakan awak. Saya taknak mainkan perasaan awak. Saya hormat kedudukan awak. Saya sanjung kesucian diri awak. Saya taknak hati awak terluka sebab saya. Saya taknak kecewakan awak dengan harapan.

Dulu saya tak faham apa itu cinta. Sekarang saya mulai mengerti. Sungguh saya belum bersedia untuk memberi awak cinta. Masih banyak yang kurang pada diri saya. Masih jauh perjalanan kita. Saya tak dapat nak bagi komitmen saya untuk awak sekarang memandangkan kita berjauhan dan masih sama-sama tengah belajar. Kita sama-sama mempunyai cita-cita dan impian. Kita ada tanggungjawab untuk masa depan. Buat masa sekarang saya memang betul-betul tak dapat berikan awak bahagia. Maaf andai ini membuat awak terluka.

Percayalah jika Allah izinkan kita bersama, saya akan menerima awak apa adanya. Saya janji akan jadikan awak isteri saya.. Teman hati, pengubat rindu dan penawar sepi. Ibu kepada anak-anak saya. Penyeri dan permaisuri hati. Saya akan setia menunggu awak. Jika seandainya awak menemui orang yang lebih baik dari saya dalam penantian ini, saya relakan dan saya redha awak hidup bersama dia. Saya harap awak faham sesungguhnya saya mencintai dan menyayangi awak semata-mata kerana Allah. Semoga Allah permudahkan jalan kita. Sekian…

Sunday, March 21, 2010

Kejayaan Hari Ini Adalah Tujuan Semalam...


Maaf, tiada seribu kata dapat ku beri untuk kali ini memandangkan kesibukan mengisi ruang-ruang waktuku. Cuma sekadar mengingatkan hidup perlu tujuan... Tanpa tujuan, mimpi tidak akan jadi realiti...Berniat itu adalah memasang matlamat... Yakin dan percayalah matlamat kemudian menjadi azimat keramat menghantarkan kita pada sebuah pencapaian sebagaimana yang telah ditetapkan Tuhan..Andai kejayaan hari ini tercipta, pasti ia adalah tujuan hari-hari semalam...

Saturday, February 6, 2010

Untuk seorang teman bernama Liya...

Dengan izin Tuhan, seadanya aku dedikasikan blogpost berbentuk monolog ini untuk seorang teman bernama LIYA(yang pasti bukan nama sebenar)...Temanku ini adalah seorang wanita(bukan teman wanita aku yer!!!)

" Liya, maaf andai kata-kata ini mengganggu hidupmu, tidak sedikit pun bermaksud untuk menambah luka dan duka di hatimu. Cuma aku minta bacalah sampai ke hujung cerita...

Sungguh memori lalu tidak cukup untuk aku mengatakan kita adalah kawan. Tapi atas nama persahabatan, kenangan indah tetap kekal abadi selagi hayat dikandung badan. Hingga kini dalam ingatanku hanyalah kuntuman senyum ikhlas yang kau berikan. Seingatku pertemanan kita bak kata orang hanyalah biasa. Sekadar tahu nama dan siapa. Tidak lebih dari itu. Dari kejauhan dulu aku melihat kau adalah seorang kanak-kanak riang dengan prestasi cemerlang. Tidak banyak yang aku tahu mengenai perihal dirimu memandangkan kita tidaklah rapat. Maaf untuk itu.

Setelah kau berpindah sekolah dulu, aku tidak lagi mendengar berita tentang dirimu. Bertahun-tahun lamanya. Setelah sekian lama terpisah, dengan kewujudan dan kemajuan dunia teknologi, akhirnya kita kembali berjumpa di alam maya. Dari situ, kita bertukar cerita dan kisah. Kesimpulan awal cerita darimu menggambarkan kau bukan lagi kanak-kanak riang seperti waktu dulu. Sehingga kini aku tidak menerima satu pun kalimat dan kata-kata ceria darimu.

Jarak berbatu-batu dan waktu yang berlalu, tidak pernah memberi khabar padaku kau telah kehilangan ayahanda tercinta. Aku memahami bagaimana perasaanmu. Jadi tak perlulah aku panjangkan cerita ini. Apa yang penting sebagai anak kita kena terus berdoa dan redha. Tiada apa yang dapat seorang ayah dan seorang ibu tinggalkan di dunia untuk kebaikan mereka setelah tiada melainkan anak-anak yang soleh dan soleha. Mereka sudahlah pasti menginginkan yang terbaik buat seorang anak. Moga berjaya dan bahagia hendaknya. Aku tidak melalui ini, jadi aku rasa tidak perlulah aku banyak berkata-kata.

Perkongsian rasa menghantarkan aku pada perlunya sebagai seorang kawan untuk sedikit memberikan kegembiraan padamu. Aku mengharapkam kau akan kembali menjadi kanak-kanak riang dan tetap menguntum senyum seperti waktu dulu. Andai kau tersenyum aku juga akan turut tersenyum. Bersabarlah, aku tahu walau kau seorang yang lembut dan terlalulah sopan kau tetap punya hati dan jiwa yang teguh untuk melalui semua ini.

Ketahuilah olehmu, hujan ribut yang melanda pasti akan ada hentinya, gelora badai pasti ada sudahya, angin yang bertiup akan pergi jua, terik-terik mentari akan mendung juga, dan kelam malam pasti terang akhirnya. Begitulah kehidupan dunia; hujan ribut, gelora badai, angin bertiup, terik mentari dan hitam malam umpama waktu-waktu payah dalam perjalanan kita, akhirnya akan berganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik menurut apa yang Allah tentukan. Mintalah padanya, semoga kita diberi kekuatan dan dipermudahkan untuk meneruskan kehidupan. Insyallah, semuanya pasti akan menjadi indah...

Sekian...salam dari kejauhan


P/s ; Saya hepi biler tengok awak hepi...

Sunday, January 31, 2010

Maaf, Aku Terpaksa Pergi...


Tiada kata dapat menggantikan rasa. Segalanya sudah berlalu. Pahit manis sepanjang bersamamu memberi seribu erti. Sungguh, aku pergi tanpa kerelaan hati. Tapi apa dayaku? Takdir telah menentukan. Sebagai insan ku turutkan jua. Andai aku pernah membuat hatimu terluka seribu kemaafan jua ku pinta adanya. Tak pernah terlintas untuk melakukan itu di benakku. Sayang, aku cuma insan biasa yang tak lepas dari melakukan dosa. Andai maaf tak dapat kau beri, tiada apa dapat kukata. Aku redha. Aku tidak dapat menanti untuk melihat lukamu itu terubat. Aku benar-benar perlu berlalu.

Biarlah aku pergi membawa diri. Akan aku doakan kesejahteraanmu seperti selalu. Sedari dulu aku tak pernah jemu melakukan itu. Aku berjanji selagi hayat dikandung badan dan selagi Tuhan mengizinkan aku akan tetap setia padamu. Tidakku punya timbunan harta. Jangankan harta, kilauan emas saja tak layak untuk aku melihat. Percayalah sayang. Hanya janji yang mampu ku beri. Ikatan suci tulus dari hati. Usahlah kau ragu. Aku pasti kembali padamu suatu hari nanti. Usahlah kau tangiskan pemergian ini. Insyallah aku akan kembali.


Aku tak pasti apakah kenangan indah kita akan terulang lagi. Apakah kau akan tetap setia menanti diri ini? Masihkah kau di situ tetap akan menerima aku? Entahlah, segalanya aku serahkan pada Sang Pencipta. Seandainya kau tak lagi sudi, aku relakan jua. Takkan sanggup aku membiarkan kau derita. Kau pun tahu yang di sana tidak sempurna seperti dirimu. Tak mungkin aku berpaling. Bukan aku tak mahu tetap di sisimu. Aku cuma ingin kau tahu disana tanggungjawabku telah sekian lama menunggu. Cita-cita dan jalan kehidupanku disana. Pengorbanan ini sangat pedih demi sebuah mimpi. Moga mimpi itu menjadi realiti.


Maaf, aku terpaksa pergi... Wahai tanah airku.

Wednesday, January 13, 2010

Mother's Love Can Never Be Changed...


Subuh, suasana alam masih hening pagi ini. Semuanya seakan diam berzikir memuji dan memanjat syukur pada kebesaran Ilahi. Cuma kedengaran sayup- sayup suara unggas dan katak yang sedari malam menyanyikan simfoni mereka. Segala yang ada bagaikan menanti dengan penuh harapan munculnya sinar mentari. Faktanya, sudah tiga hari mendung merudung dan hujan mengguyur kota ini tanpa henti. Tapi sayang, hujan masih merintik di luar sana. "Biarlah, rahmat Tuhan sedang mencurah", hatiku berkata.

Aku tidak akan pernah jemu melakukan ini. Hariku dibuka dengan sembah sujud yang ke-sekian kalinya pada Tuhan empunya semesta. Aku persembahkan diri yang lemah dengan penuh rasa kehinaan. Apa yang terdaya dan seadanya kuhadapkan pada Sang Pencipta. Solat yang berdiri kali ini lain benar rasanya. Seolah-olah hatiku berbicara tentang sesuatu yang tidak aku fahami. Sempurnakah ia atau sebaliknya? Puaskah ia? Sakitkah ia? Entahlah, mungkin ada yang kurang. Aku tidak pasti tentang itu. Apa yang pasti, hari ini umurku bertambah lagi. Usiaku perlahan-lahan meniti alam dewasa bergerak meninggalkan zaman remaja. Hari-hari untuk aku merasakan kehidupan semakin berkurang. Detak jantung dan denyut nadi entah bila akan terhenti. Jam biologi tubuh seakan dimamah waktu. Apakah sempat aku merasa hari tua? Atau aku dijemput lebih dahulu? Bukan urusan hamba seperti aku, kuserahkah semuanya pada Tuhan. Malah, aku tidak layak untuk menanyakan itu.

Waktu berlalu, aku lantas bangun untuk mengambil naskah kitab suci di atas meja. Teringin benar mengalunkan ayat-ayat di dalamnya. Duduk bersila di atas sejadah tadi, aku membuka halaman yang hendak dibaca. Ketika membelek-belek mencari halaman tujuan itu, telefon bimbitku berbunyi. "Haish, saper pulak yang telefon pagi-pagi camni??", tanyaku kepada diri sendiri. Tanpa membuang masa aku menutup naskah suci ditanganku dan meletakkan ia kembali ke meja. Aku segera menjawab panggilan itu. Yang tertera di layar sentuh itu adalah "EMAK".

"Assalamualaikum, mak", aku menghulurkan salam, memulakan bicara. "Wa'alaikumsalam...Selamat hari jadi, sayang", kata ibuku di hujung talian. Suara itu, ucapan itu, dan detik itu membuat aku terdiam. Lidahku kelu. Aku tergamam. Tiada kata yang terlintas dikepala waktu itu. "Kenapa diam je?", sambung ibuku. "Takde apa-apa la, mak...terima kasih...mak orang first wish bufday Along hari ni." jawabku ringkas.

"Mak...terima kasih sebab lahirkan Along, besarkan Along.. tak mungkin Along boleh bayar balik semua tu..", aku mengatakan itu. “Sama-sama, Long.. Itu memang tanggungjawab mak... Mak takde harta banyak untuk Along dengan adik-adik... Apa yang mak mampu, mak bagi sama rata korang adik-beradik, takde yang lebih takde yang kurang. Mak nak korang semua berjaya dunia akhirat..." ibuku menjawab. Aku masih belum puas. Masih banyak yang mahu aku bicarakan pada ibu. "Mak, Along mintak ampun mintak maaf atas salah silap Along, dari kecik sampai kebesar, dari dulu sampai sekarang, halalkan makan minum, pakai Along, mak." aku menambah. "Ya, mak maafkan dan mak halalkan," jawapan ibu mudah. "Mak, Along sayang mak!!!" aku menyatakan. Bersamaan itu genangan sehangat tubuh meluncur laju membasahi pipi. Aku tidak lagi dapat menahan sebak. Bercucuran jatuh titis-titis jernih dari kelopak mataku. Hujan diluar seakan mengiringi detik-detik syahdu itu. Sungguh, saat itu aku ingin menangis semahu-mahunya.

"Mak mana yang tak sayang anak, Long? Sayang mak kat awak takkan berubah sampai bila-bila. Awak kan anak mak." ibu membalas. "Sudah la tu. Tak mau nangis,jangan sedih-sedih. Hari ni kan patutnya Along rasa happy", ibuku seakan memujuk. "Tak la mak. Along tak nangis lagi dah. Along kan dah besar", aku membalas. "Ok la kalo macam tu, mak nak siap-siap nih. Nak pergi kerja", ibuku mengundurkan diri. "Hmmm...terima kasih sekali lagi mak. Kirim salam kat ayah nanti. Insyallah, lusa Along balik. Ok mak. Nanti kiter jumpe. Assalamualaikum.", aku menutup perbicaraan dengan sedu-sedan. "Waalaikumsalam", Ibu menjawab. Perbualan telefon selama kurang lebih sepuluh minit itu dihentikan. Sepuluh minit yang akan aku kenang seumur hidup. Kasih sayang emak.

Meski aku tidak dapat mencium tangan ibu pagi itu, mendengar suaranya saja sudah cukup untuk mengubat rindu ini. Sudah lama ku pendamkan hasrat untuk mencium tangan ibu, mengucup tangan ayah. Aku merindui tangan-tangan yang selama ini membelai zaman anak-anakku, mencari nafkah untuk kehidupanku. Tangan ayah sudah lama tidak hinggap ditubuhku. Tangan ibu bertahun tidak memukul aku. Tangan merekalah yang telah membentuk aku menjadi aku. Ingin sekali aku menatap wajah kedua insan tersayang itu. Wajah yang aku kenal dulunya seringkali memarahi aku. Wajah-wajah itulah juga yang pertama kali aku lihat saat membuka mata dan mengenal dunia dulu. Terasa ingin mendengar suara keras ayah menengking dan memarahi aku. Aku berharap sekali dapat mendengar leteran ibu. Sedalam ingatanku kali terakhir aku mengucup tangan-tangan itu, mendakap tubuh ayah dan ibu, menatap wajah dan bebual mesra dengan mereka sewaktu sebelum ke sini dulu. Waktu pagi, di lapangan terbang. Kira-kira setahun yang lalu.

"Sayang emak pada seorang anak tidak akan pernah berubah..."

Mungkin itulah kata-kata yang paling tepat untuk aku simpulkan apa yang terjadi pagi ini. Sebuah peristiwa yang amat berharga bagiku dalam memahami apa itu kehidupan. Aku merasa lebih dewasa. Semuanya berkat kasih sayang emak yang tidak pernah berubah. Aku yakin, sejak aku masih dalam kandungan dan sampai bila-bila, perkara itu akan tetap sama. Aku akan pastikan itu. Aku berjanji pada diri, bersaksikan apa yang ada di bumi dan di langit, semua yang dilaut dan di darat serta seisinya; aku takkan sia-siakan kasih sayang emak. Semoga emak bahagia sebagaimana dia membuat aku bahagia...

"Ya Allah kasihilah ibubapaku seperti mana mereka mengasihi aku sejak kecil"... Amin

P/s : Gambar2 di bawah mungkin ada hubungannya dengan tajuk diatas walaupun secara langsung tiada kaitan dengan cerita serta watak-watak yang tersebut. Tapi aku rasa menarik untuk disertakan bersama-sama.