Wednesday, February 23, 2011

Ketika Takdir Berkata Lain...



Bersama deru waktu berlalu
Beralun kisah pilu penuh sendu
Inilah sebuah al-kisah ceritera...

Ketika takdir berkata lain
Tatkala wilayahmu sepi tanpa realiti
Angan kukuh menjadi luluh dan jatuh
Terhias ngeri pada mimpi indahmu

Pecah dan musnah, binasa sudah
Berkeping guris luka hati terhiris
Pilu dan malu diwajah murammu
Bersama genangan berderai-derai
Tinta syahdu menghiasi tasik madu

Dan pada seri embun pagi
Tidak lagi menyeri taman hati
Terasa manis sepahit hempedu
Hembus nafas lemah bersama debar hambar
Kobaran api semangat membakar tiada
Padamlah sudah bahang jiwa membara

Ketika takdir berkata lain
Jangan kau pasrah mengadu
Menyalahkan anu dan itu
Mengemis kasihan, minta dibantu
Kau tidak longlai dan lemah begitu

Hentikan rintih tangismu
Seka sedih dan sendu
Teruskan langkah-langkah gagahmu
Meninggalkan tahi-tahi dijalan itu
Mencari sinar pelangi baru tanpa jemu
Mengganti harum Kasturi mewangi
Mengisi nyanyian irama sepi di kalbu mu

Usah kau bertanya bagaimana
Jangan kau soal pula mengapa
Kau hanyalah seorang hamba
Hina dan lemah dihadapan-Nya

Ketahuilah oleh dirimu
Kadang ujian datang menimpa
Kerana Tuhan masih kasih
Tuhan masih sayang padamu..

Jika mentari masih terbit esok hari
Pastilah di sini bukan akhirmu

Kau adalah wira di medan hidupmu
Kau pejuang setia
Perkasa melawan sengsara
Tiada gentar akan ranjau berliku
Kerana doa adalah senjatamu

Kau adalah nakhoda
Di samudera berbadai gelora
Kemudi layar ditanganmu
Bahtera hidup dalam peganganmu
Perintah dan titah di genggammu
Berlalulah haluanmu ke puncak jaya

Bangkitlah....
Bukankah nabi pernah bersabda
Orang beriman redha akan ujian
Berusahalah tanpa mengenal henti
Yakin dan pasti bersulam sabar menanti

Biar didunia kau payah dan susah
Membayar keringat dan darah
Syurga dan bidadari tetap menantimu
Serahkan semua, dan tersenyumlah
Kerana Tuhanmu adalah Allah...


Allahu Akbar!!!!

Thursday, January 13, 2011

The Delivery Story

Blogpost ini adalah pengalaman seorang clinical student…Dan, clinical student tu adalah aku…

Kisah bermula...Dalam ruangan diskusi Dept. Obgyn sebuah hospital…Sesaat sebelum delivery/partus seorang ibu…

Dr. Obgyn : You koas (co-assistant@clinical student) untuk delivery ni??

Clinical student : Ya, saya koas untuk partus ini dokter…Saya, first time terima partus…

Dr. Obgyn : I see…Takpe, your task; make sure the baby safe, I’ll take care about the mother…

Clinical Student : Saya tak confident la dokter…Selama ni, saya baca teori jer…Nervous ni…

Dr. Obgyn : Rileks…1st time memang camtu…Ini real situation…Beza dengan baca buku, sekarang kita pakai decision and action…Jangan blurrr…

Clinical Student : Jadi apa saya kena buat ni, dokter?

Dr. Obgyn : Alat untuk baby semua ade? Kamu tau neonates resuscitation kan?

Clinical Student : Semua ada…Glove, Suction, Neo-puff, linen, gauze,Vit. K, incubator, O2….Yer, saya tau tu…

Dr. Obgyn : Bagus..Kejap lagi saya tarik keluar baby tu, saya pass pada kamu…kalau dia tak nangis, paksa die nangis..tak nangis gak..terus resuscitate…buat macam dalam standard procedure...

Clinical Student : Fuh..camtu ker…

Dr. Obgyn : Yer la…Mudah-mudahan xde pape…Baby normal biasanya terus nangis… Kalau normal…Suction, pastu lap badan baby cepat..bedung...pastu inj. Vit. K. then, buat Apgar dan Ballard…Timbang, ukur panjang badan…Ada nurse yang akan assist kamu…

Clinical Student : Ok…

Datanglah seorang nurse entah dari mana memanggil kami semua yang berada di situ…Kami pun bergerak menuju bilik persalinan…Di situ ada seorang ibu, merintih sakit… Semuanya telah tersedia, lengkap untuk menyambut kelahiran bayi tersebut…

Dr. Obgyn : Kak, saya dokter…Saya nak tolong akak..jadi, akak kena dengar cakap saya…Bila saya kata push, akak teran kuat-kuat yer..

Ibu Hamil : Aduh….Sakit sangat ni dokter…tolonglah saya….Erghhhh!!!

Dr. Obgyn : Teran….Teran lagi..kak…Dah nak keluar dah ni…
Ibu Hamil : Erghhhh!!!

Dr. Obgyn : Mengucap kak...mengucap..Dah nampak kepala dah…Sikit lagi, kak…

Dipendekkan cerita, lahirlah seorang baby boy yang berlumur vernix caseosa bercampur darah secara spontan. Menangis, tonus otot baik, kulit berwarna kemerahan,tiada trauma lahir, tiada kelainan congenital… Membuat semuanya lega dan gembira…Syukur…Aku take over baby yang comel tu…Melakukan apa yang patut aku lakukan…Perasaan dalam hati bermacam-macam…Selesai semuanya, aku menyerahkan baby boy itu kepada ibunya…Si ibu menyambut dengan senyum gembira…Dr. Obgyn tadi entah ke mana…

Ibu Melahirkan : Dokter, boleh saya minta tolong??

Clinical student : Ape die kak???

Ibu Melahirkan : Tolonglah azankan anak saya ni…bapak dia da xde…

Clinical Student : Hmm..(menganggukkan kepala)

Ibu Melahirkan : Terima kasih…

Aku terdiam…Kelu lidah untuk berkata-kata…Perlahan aku alunkan kalimat-kalimat keramat di gegendang bayi suci itu…Aku serahkan kembali pada ibunya…Air mataku mengalir…Dalam hatiku berkata “Sabar yer, dik”…

Aku keluar dari ruangan itu…Melengkapkan laporan persalinan, dan kemudian meninggalkan tempat…Macam tu la aku rupanya masa lahir dulu…Kesian mak…Tapi lebih kesian kat baby tu…At least, aku masih ada ayah…Itulah pengalaman first aku sambut baby… Lepas tu aku kena terima banyak partus gak la…Aku lupa berapa jumlahnya…Tapi takde problem sangat sebab dah ade pengalaman…Aku pernah dapat baby asfiksia, rangsang taktil takde respon…Pastu suction kat situ rosak pulak…Yang manual takde…Kenalah bawak lari baby tuh kat wad sebelah…Kulit baby tuh dah warna biru, muka pucat giler….Tuhan jer yang tau perasaan aku masa tu…Berpeluh jantan aku waktu tuh…Lepas jer suction, baby tu nangis, kulit die jd merah…syukur…Yang paling aku tak boley luper, terima partus Gamelly(kembar)…Tu kenangan yang best..Dua beradik dan mak diorang tuh selamat…Punyer la gembira family diorang…Nenek diorang siap jemput kenduri lagi.

Seminggu kemudian, aku ditugaskan di NICU(Neonates Intensive Care Unit). Inilah part yang paling tough selama aku menjalani hidup di Dept. Of Paediatrics Di sini, semua baby bermasalah dan kritikal ditempatkan. Majoriti kat sini baby pre-mature…. Ada baby yg suke apneu. Tiap 3-5 minit, mesti alarm monitor bunyi…Kenalah pergi ingatkan baby tuh bernafas balik…Pastu kang ada pulak yang nangis…Nangis je keje…Nak minum susu…Aku buatkan susu…Kencing la, berak la…Aku dan kawan-kawan la yg tukar pampers diorang…Aku ngan kawan-kawan pernah tak tidur sebab jaga baby…Kesian kat baby2 tu sume…Mak kena tahan lagi kat ICU, ayah pegi keje, sedara-mara takde…Ada pulak antara diorang tuh anak haram…Semuanyer kami buat cam adik sendiri…

Pada usia 22 tahun…Aku dah paham kenapa kita kena jadi anak yang baik..Tak boleh lawan mak ayah…Aku dah tau kenapa orang kata “Syurga di bawah tapak kaki ibu”…
Pengorbanan, jerih payah mak dan ayah, tak boleh dibayar dengan duit ringgit...Kita cuma boleh bayar dengan menjadi anak yang baik…Dengar cakap mereka…Jadilah anak yang soleh dan soleha…Doakan mereka sentiasa…Semoga Allah redha dan permudahkan jalan kita semua…


Sekian…Wassalam…

Thursday, January 6, 2011

Hidup Adalah Penantian...

Blogpost kali nih dibuat atas dasar sebuah penantian..Aku letih menunggu..Aku dah penat berharap..Sementara menunggu dengan penuh harapan, aku pon mengisi masa dengan blogging.Haha, jadi takde la membazir masa kan?

Mereka berkata(aku tak pasti siapa mereka);
"Hidup ini penuh dgn penantian dan penantian itu adalah sebuah harapan..." Kesimpulannya, hidup dipenuhi dengan harapan...tapi masalahnyer, boleh ker kiter cuma hidup dengan penantian dan harapan???
let us think...


Sekian..

Wednesday, October 6, 2010

Bendang Terbentang, Si Putih Berserat

Blogpost kali ini adalah catatan pengalaman sewaktu aku menjalani field study beberapa waktu lalu.


Pawana menerpa jagat raya. Suara si ayam jantan yang bersahut, disambut dengan kicau unggas mengiringi terbit mentari. Semuanya menyanyikan lagu alam warisan berzaman. Memuja dan memuji Empunya semesta. Segalanya memulakan hari baru, meninggalkan semalam yang berlalu. Suasana permai desa di pergunungan ini sungguh menenangkan jiwa. Maha Suci Tuhan yang menciptakan. Tiada yang lebih sempurna melainkan-Nya.

Awal pagi, selesai minum teh tanpa gula dan sarapan. Dengan izin, aku menuruni tangga rumah tradisional Bugis itu. Hawa dingin dari kabus dataran tinggi menyapaku saat kaki menginjak tanah. Udara nyaman menyempurnakan pernafasan. “Pagi yang indah, jalan-jalan best ni…”, hatiku berkata. Dengan pantas aku membuat keputusan. Berteman kamera dan lensa yang setia, aku memulakan langkah. Fajar di ufuk timur. Titis embun masih basah di dedaunan.



Di jalan yang berkabus, aku melihat ada dua kanak-kanak riang bermain bola. Begitulah aku sewaktu dulu. Belum jauh, aku melewati bendang padi yang membentang. Sawah yang menghijau menarik perhatian. Bertingkat-tingkat di lereng gunung. Aku kagum. Kekaguman itu segera dianalisis. Setiap pembatas yang dibuat pada tingkat sawah berfungsi sebagai penampungan air, tanah, dan padi. Dibuat sedemikian mengikut geografi perbukitan. Keunikan model sawah seperti ini, adalah sistem pengairan dan irigasi yang mengaplikasikan hukum fizik. Fizik menyebut, suatu bahan dalam bentuk cecair akan sentiasa cenderung untuk menempati batas terendah suatu tempat kerana gravitasi bumi. Inilah yang diaplikasikan petani-petani di sini. Sumber air dari anak sungai terdekat digunakan mengaliri tingkat atas, ditampung dan dikemudian dialirkan membasahi tingkat-tingkat yang lebih rendah. Sama sekali tidak mengunakan mesin pam atau teknologi moden.



Aku pasti seni kehidupan ini tidak mudah. Petani harus membanting tulang, membiarkan keringat mengalir di tengah sawah. Berjuang untuk meneruskan kehidupan. Teknik persawahan ini tidak memerlukan biaya, efektif, menakjubkan, dan secara tidak langsung menciptakan panorama serta pemandangan indah. Hasil dari data survei yang aku dapat, petani-petani disini tidak pernah ke sekolah. Sungguh, aku mengakui dan menyaksikan kehebatan Tuhan yang ke-sekian kalinya. Terasa begitu lemah dan hina diri ini.



Di pinggir sawah, aku melihat belalang yang menarik. Aku masih mencari jawapan mengapa belalang diciptakan di sawah padi. Pasti Allah menjadikan sesuatu dengan alasan. Pangkal pohon berhampiran, ada kelompok cendawan yang menjamur di reput kayu. Menjalankan proses dekomposisi yang alami. Meninggalkan persawahan tadi, di sepanjang jalan kelihatan kebun-kebun sayur yang subur.



Kemudian, tidak jauh dari situ aku melihat pohon-pohon renek berbunga putih. Ditanam secara ladang. Aku tertarik. Setelah mendekat, yang berwarna putih itu bukanlah kuntuman bunga. Aku belum pernah melihat tumbuhan jenis ini. Tapi gumpalan kecil berwarna putih itu, sama persis dengan putih yang sering digunakan dalam prosedur perubatan; disinfeksi, pembersihan, penutupan dan perawatan luka lainnya. Itulah KAPAS. “Owh, camni pokok kapas rupanya…”, aku berkata. Itulah pertama kali aku melihat dari mana kapas datang.


“Dari kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain”.

Begitulah kata pepatah. Kata-kata mudah orang-orang tua dalam menerangkan suatu proses yang payah. Serat-serat kapas akan dipintal menjadi seurat benang. Benang kemudian akan ditenun menjadi kain. Kain pula akan dijahit menjadi baju, seluar, batik, langsir, cadar, alas, dan lainnya yang akhirnya menjadi kain buruk. Walau tidak dijahit atau dicorak, kain tetap kita pakai sebagai kafan membalut tubuh yang sudah tidak bernyawa. Hakikatnya, waktu untuk serat-serat kapas dari pokok matang, mengambil waktu yang lama. Pada awalnya, benih-benih kapas yang disemai akan tumbuh menjadi pohon beranting kecil seperti pohon bunga sakura. Kemudian, kapas melalui proses pendebungaan oleh serangga terbang seperti lebah, rama-rama atau jenis lainnya. Pendebungaan yang berhasil nantinya akan dilanjutkan dengan tahap pembuahan. Buah kapas yang masih muda biasanya berwarna hijau, berbentuk seperti buah kelapa dalam ukuran kecil. Setelah matang, buah kapas tadi akan dibiarkan mengering di rantingnya. Jika cuaca panas mengizinkan, proses pengeringan mengambil masa lebih kurang satu minggu.



Kulit dari buah kapas akan merekah dan terbuka. Terlihatlah putih kapas yang bersih suci dari kotoran. Serat-serat putih ini sebenarnya terdiri dari polimer-polimer selulosa. Polimer inilah yang memberikan daya tahan dan daya serap yang tinggi kepada kapas. Disamping itu juga, polimer yang menjalin ikatan antara satu dengan yang lain secara semulajadi membentuk jaringan yang boleh memerangkap haba. Itulah alasan mengapa kapas digunakan sebagai bahan dasar pembuatan gauze pad, cotton bud, dan pakaian kita sehari-hari. Tanpa sedar, kapas telah banyak menyumbang dalam perkembangan tamadun manusia. Tidak perlulah kita tanyakan apa penting gauze dalam bidang perubatan kerana tanpa kapas, operasi pembedahan untuk menyelamatkan nyawa pasti sukar. Bukan cuma itu, penanganan luka atau perdarahan yang berlaku menjadi lebih payah tanpa gauze. Begitu pula dengan baju yang kita pakai setiap hari. Pakaian melindungi tubuh dari terik matahari dan dinginnya alam menjadikan kita tetap bertahan hidup. Malah, sesudah mati pun kita masih menggunakan kapas untuk menutup rongga-rongga tubuh. Akhir kehidupan, kita berteman kafan menghadap Tuhan.

Indah dan sempurna ciptaan-Mu, Rabbi. Subhanallah… Marilah kita merenung dan mensyukuri sekian banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Betapa kasih, cinta dan sayang Sang Khaliq terhadap hambanya. Diberikan hanya butir padi dan serat-serat putih yang akhirnya menjadi asas kepada kehidupan manusia. Itu hanya sedikit dari sekian banyak nikmat Tuhan. Firman Allah dalam al-Quran;

“ Tumbuh-tumbuhan, pohon-pohonan; keduanya tunduk kepada-Nya. Dan langit telah ditinggikan-Nya dan Dia ciptakan keseimbangan, agar kamu jangan merosak keseimbangan itu. Dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil, dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.” (Ar-Rahman; 6-9)


“Apakah kamu tidak melihat, bahwa Allah menurunkan air dari langit, lalu diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian dengan air itu ditumbuhkan-Nya tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, kemudian menjadi kering, lalu engkau melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sungguh pada demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal sehat. Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya sama dengan orang yang hatinya membatu? Maka, celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk memngingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata. Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik yaitu Al-Quran yang serupa ayatnya lagi berulang-ulang, gementar kerananya orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah dengan kitab itu. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.” (Az- Zumar; 21-23)


“Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”(Ar-Rahman; 13)

Di kejauhan, pemandangan gunung-ganang ibarat lukisan memukau pandangan. Keindahan itu membuat aku berfikir. Gunung yang begitu gah berdiri tinggi menongkat langit menjadi hancur kerana takutkan Allah. Mengapa kita manusia yang lemah menjadi sombong dan kufur? Ku hela nafas panjang dan dalam. Aku tunduk, perlahan genangan air mataku diseka. Aku mengingat ayat Qur’an yang berbunyi;

“Sekiranya kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah dan hancur disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpaan-perumpaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir…”(Al-Hasyr; 21)


Aku berjalan pulang. Terik mentari semakin terasa. Peluh jantan menampakkan dirinya. Setiap langkah itu menghantarkan aku kepada sebuah kenyataan. Aku mensyukuri hidup ini. Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah Rasullah. Maha Suci Tuhan yang menjadikan ciptaan-Nya dengan sempurna. Milik-Nya apa yang ada di bumi dan di langit. Allahu akbar!!!

Sekian. Moga bermanfaat untuk kita semua. Wasalam…

Saturday, June 12, 2010

About Love…

Sebelum kata-kata dibuka, blogpost ini sama sekali tidak bermaksud untuk menghina atau merendahkan sesiapa. Kata-kata yang tertera adalah untuk memberi sebuah kefahaman mengenai “C.I.N.T.A”. Memang tidak banyak orang sudi membincangkan subjek tersebut. Kerana malu menjadi alasan, maka cuma beberapa yang mahu mengatakan apa itu cinta. Disebabkan wilayah cinta terlalu luas, perbincangan kita hanya akan mengatakan cinta antara lelaki dan wanita khususnya remaja. Dalam realiti hidup hari ini, cinta berlaku dimana-mana. Bersepah dari pusat membeli belah, taman bunga, tepi jalan, tengah jalan, universiti dan sekolah tidaklah terkira banyaknya ‘couple-couple’ yang mengatakan cinta dan berjanji setia. Memadu asmara, berkepit kesini- sana, berdua-duan tanpa malu dan segan. Bertimbun pula kisah dan peristiwa menggadai maruah kerana kata cinta. Entahlah, adakah itu yang dikatakan cinta?


Blogpost yang ini secara langsung datang dari hati nuraniku sebagai seorang anak muda yang sedang berusaha untuk memahami hakikat cinta. Sejauh mana pengertian, maksud dan keadaan cinta didasarkan pada pengalaman dan nukilan-nukilan mereka yang telah arif melalui kehidupan. Kerana cinta adalah soal hati dan rasa, marilah sama-sama kita fahami dan melihat cinta dari sisi insani hasil torseni Illahi. Adapun bermulalah hikayat dengan sebuah takrif mengatakan bahawa cinta adalah fitrah. Oleh hal yang demikian fitrah jangan menjadi fitnah. Rasa cinta bertandang ke dalam jiwa tanpa diundang dan diminta. Keinginan itu tidak perlu dicari atau dipelajari. Ia adalah hal semulajadi. Sejak sekian lama kita telah diajar dan dididik tentang syurga. Serba sempurna dan tiada apa yang kurang di sana. Namun, Adam a.s. tetap inginkan Hawa. Kerana cinta mereka setia, mereka terpisah lama namun bertemu juga di dunia. Kita adalah zuriat cinta mereka. Kerana kita adalah anak cucu mereka, maka kita juga mewarisi cinta.

Menurut pandangan Islam tiada yang salah dengan rasa cinta, tapi yang berlaku adalah kesalahan dalam menjalinkan hubungan cinta. Syariat dilanggar, hukum- hakam agama entah kemana. Apa yang haram menjadi halal. Menjadi megah bila melakukan apa yang ditegah. Itu yang salah. Cinta yang tadi suci, tercemar sudah. Bersalut nafsu dan kepentingan diri semata-mata. Ketika syahwat terpenuhi, dan apa yang dihajati didapat, cinta terkulai dan bersepai. Menyikapi hal yang demikian, ulama’ mengatakan

“Cintailah sesuatu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencian pada suatu ketika. Bencilah sesuatu itu sekadar saja, mungkin ia akan menjadi cinta pada suatu ketika.”

Islam datang untuk menunjuk jalan. Membawa panduan untuk menyelamatkan kita dari kesesatan. Apa perlu kita berpaling dari kebenaran? Tentulah tidak. Islam sama sekali tidak menghalang cinta kerana cinta itu fitrah. Tapi fitrah perlukan hidayah. Datangnya hidayah dari Allah. Dari situ kita melihat, cinta datang dari Allah. Untuk mendapatkan cinta, kita perlu dapatkan hidayah Allah. Keduanya itu bertakhta di hati. Menurut kisah, hidayah ibarat air yang mencurah manakala hati adalah wadah. Jika wadah hati tidak dibuka, mana mungkin hidayah tercurah masuk ke kalbu. Bukalah hati, dan berdoalah untuk mendapat hidayah. Kerana hidayah adalah cahaya petunjuk dan pelita nurani. Setelah pintu hati terbuka dan bersedia memahami, berjuanglah mencari ilmu. Dengan ilmu jua Allah memberi hidayah. Demikian Islam mengajar cara kita memahami erti cinta hakiki.

Sesungguhnya cinta yang hakiki adalah tumpahan lautan perasaan yang matang dan sangat dalam. Ia bukan perasaan yang diharap untuk hadir , kemudian kita ikut kemana ia pergi. Cinta adalah gejolak perasaan yang datang secara refleks. Ia terlahir dengan penuh semangat, kasih sayang dan kegembiraan. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Begitulah adanya cinta. Cinta sejati tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak pula berkurang kerana keburukan.

Perbicaraan diteruskan, cinta adalah komitmen, tanggungjawab dan amanah. Tidak cukup mengatakan cinta atas dasar suka sama suka. Bezanya suka ada di muka dan kata, sedangkan cinta ada di dasar hati. Cinta yang sejati dan mulia, diiringi usaha dan setia. Cinta bukan sekadar di bibir sahaja. Love is a verb. Cinta adalah perbuatan dan tindakan. Memerlukan pengorbanan dan saling pengertian. Memahami antara satu dengan yang lain. Melengkapi dan memenuhi bukan untuk diri sendiri. Memberi dan sama-sama merasa. Dan itu semua hanya boleh berlaku dengan adanya sebuah pernikahan. Jalan untuk mencapai hasil cinta sesunguhnya panjang dan berliku. Untuk mendapatkan teman hati yang baik, kita perlu menjadi baik. Itulah ketentuan yang telah ditetapkan. Perbaiki diri, tambahlah apa yang kurang. Sempurnakan ia.

Firman Allah s.w.t;

“Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik. Manakala, lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.” (An-Nur 24:26)

“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepadamu. Ada pula perkara yang kamu tidak suka padahal ia membawa kebaikan kepadamu. Kamu tidak mengetahui, Allah jua yang lebih mengetahui.”(Al-Baqarah; 216)


Kita ingin orang yang kita suka, yang kita cinta terus setia bersama. Biar sampai menempuh nikah, menjejak pelamin. Beranak cucu hingga ke akhir hayat. Tapi Allah jua yang menentukan segala urusan. Redha dan serahkan semuanya pada Maha Berkuasa. Bagi pencinta Allah mereka merasa tenang dalam derita. Rasa mulia ketika dihina. Rasa lapang ketika kesempitan. Ketika diberi kesenangan mereka syukur, ketika ditimpa musibah mereka sabar. Mereka sentiasa beruntung dan bahagia.

Perkahwinan jua yang membenarkan kesucian cinta. Menyelamatkan kita dari dosa dan zina. Menutup fitnah dan menjaga amanah. Pernikahanlah yang menyempurnakan sunnah. Tuntutan agama terpenuhi akhirnya bersama kemanisan cinta. Hanya yang bergelar suami dan isteri layak membuktikan cinta mereka setia. Kemudian cinta itu diwariskan kepada zuriat penerus keturunan. Berbahagialah mereka hingga ke syurga.

Seiring waktu berlalu, hatiku mula memahami apa itu cinta. Yang pasti ia suci dan sama sekali tidak boleh bersulam dosa. Harus dijaga dan dibaja. Disiram kasih, diberi sayang. Mengerti cinta tidak semestinya memiliki kerana kita sentiasa dimiliki. Tidak mengharap dan tidak berharap. Usaha juga dasarnya. Dilanjut segala pasrah di tangan Allah.

“Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjuk yang baik dari-Mu, dengan ilmu-Mu. Aku minta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari kelebihan-Mu yang maha banyak. Maka sesungguhnya Engkau berkuasa, dan aku tidak berkuasa. Engkau mengetahui, dan Engkaulah yang paling mengetahui segala perkara. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka tentukannya untukku dan permudahahkanya kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang, maka elakkanya dariku dan elakkan diriku daripadanya.Tentukanlah kebaikan dimana sahaja aku berada. Sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa atas segala sesuatu…”

"“Ya Allah, berikanlah cinta-Mu kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintai diriku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu…”


Begitulah coretan serba-sedikit tentang cinta. Apa yang baik dari Allah dan yang buruk itu dari diri yang lemah ini. Banyak kata-kata dalam blogpost diatas diambil dari sumber-sumber seperti di bawah ini:
1) “Tentang Cinta” / Pahrol Mohd Juoi.
2) “Ajari Aku Cinta” / Khalid Jamal
3) “Istikharah di Atas Sejadah Cinta”/ Mustapha Mahmud
4) “Understanding Love”/ Phillips Douglas
______________________________________________
P/s Untuk awak yang tersayang:

Bertahun-tahun jarak memisahkan kita. Saya tak pernah ada kesempatan untuk nak bagitahu dan terus-terang pada awak. Saya mengaku memang pernah ada insan selain awak di hati saya. Saya juga tahu di hati awak juga pernah ada insan selain saya. Saya tak kisah dengan semua tu sebab saya telah faham apa itu cinta... Saya cuma nak awak tahu beberapa perkara tentang saya. Ketahuilah saya tidak pernah menolak awak. Dan saya tidak mengatakan saya telah menerima awak. Saya tak nak sia-siakan awak. Saya taknak mainkan perasaan awak. Saya hormat kedudukan awak. Saya sanjung kesucian diri awak. Saya taknak hati awak terluka sebab saya. Saya taknak kecewakan awak dengan harapan.

Dulu saya tak faham apa itu cinta. Sekarang saya mulai mengerti. Sungguh saya belum bersedia untuk memberi awak cinta. Masih banyak yang kurang pada diri saya. Masih jauh perjalanan kita. Saya tak dapat nak bagi komitmen saya untuk awak sekarang memandangkan kita berjauhan dan masih sama-sama tengah belajar. Kita sama-sama mempunyai cita-cita dan impian. Kita ada tanggungjawab untuk masa depan. Buat masa sekarang saya memang betul-betul tak dapat berikan awak bahagia. Maaf andai ini membuat awak terluka.

Percayalah jika Allah izinkan kita bersama, saya akan menerima awak apa adanya. Saya janji akan jadikan awak isteri saya.. Teman hati, pengubat rindu dan penawar sepi. Ibu kepada anak-anak saya. Penyeri dan permaisuri hati. Saya akan setia menunggu awak. Jika seandainya awak menemui orang yang lebih baik dari saya dalam penantian ini, saya relakan dan saya redha awak hidup bersama dia. Saya harap awak faham sesungguhnya saya mencintai dan menyayangi awak semata-mata kerana Allah. Semoga Allah permudahkan jalan kita. Sekian…